Setelah mendapat sambutan yang amat mengagumkan sepanjang dua musim berturut-turut, kini Idola Kecil (IK) kembali lagi di TV9 untuk musim ketiga dengan lebih keseronokan dan cabaran yang menghiburkan.
Seramai 10 orang peserta telah dipilih dalam IK musim terbaru ini dan mereka yang terpilih adalah di antara lebih dari 1000 penyertaan yang diterima sepanjang sesi ujibakat di sekitar Kuala Lumpur, Johor Bharu, Pulau Pinang serta Sabah.
“Sangat sukar untuk kita memilih peserta pada musim ini memandangkan terlalu banyak sangat bakat yang bagus-bagus,”kata Pengurus Penjenamaan TV9, Nik Ily Diyana Nik Anuar ketika ditemui pada majlis sidang akhbar IK3 di Ecoba, Menara Bata, semalam.
Perkara ini turut dipersetujui oleh Pengurus Besar TV9, Cik Sherina Nordin. “Kami amat kagum dengan bakat-bakat serta kebolehan adik-adik kecil ini terutamanya sepanjang sesi ujibakat yang telah diadakan sepanjang dua bulan yang lalu.
“Proses pemilihan IK pada musim ini lebih sukar dan daripada 1000 peserta, akhirnya 10 yang terbaik dipilih berdasarkan kebolehan seni mereka yang tidak kira usia mahupun jantina.
“Sememangnya ia merupakan keputusan yang amat sukar juga bagi kami semua kerana mereka semua memang berbakat. Harapan kami adalah semoga rancangan ini akan terus mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton kami di luar sana.”
Kesepuluh peserta yang dipilih adalah Nurhamilya Adiba Bt. Hamzaidi, Muhammad Afif B. Abdul Halim, Farra Noradzlina Bt. Safwan, Nor Harris Alif B. Nor Rashidi, Angelica Paujin, Abdul Hadi B. Abdul Mazlan, Nor Balqis Bt. Ahmad Tajudin, Nadeera Allysha Bt. Aminudin, Shazlin Bt. Salamat dan Puteri Aszfaryna Khareeza.
Para peserta bukan saja dipilih berdasarkan bakat nyanyian mereka yang hebat, malah kehandalan dan kemahiran mereka dalam bidang tarian dan juga lakonan. Kebanyakan peserta cilik ini sudahpun mempunyai pengalaman dalam membuat persembahan malah ada juga yang pernah bergandingan dengan artis terkemuka tanahair.
Farra Noradzlina yang baru berusia 10 tahun, pernah berkongsi satu pentas dengan Ratu Rock Malaysia, Ella manakala Puteri Aszfaryna Khareeza pernah berduet dengan penyanyi popular era 70-an iaitu Salamiah Hassan.
“Puteri pernah berduet dengan Salamiah ketika membuat persembahan di Hotel Dorsett Regency pada bulan puasa dua tahun lepas. Puteri nak masuk IK sebab memang minat nak jadi penyanyi. Bagi Puteri, persaingan musim ini semuanya hebat kerana kebanyakan peserta, masing-masing sudah berpengalaman,”ujar peserta Kuala Lumpur yang berusia 12 tahun ini.
Salah seorang peserta, Nor Harris pula pernah mendapat peluang membuat persembahan di Hard Rock Cafe, Pulau Pinang dengan kumpulan muziknya sendiri.
“Harris selalu buat persembahan di hotel-hotel sekitar Pulau Pinang bersama band Harris iaitu First Step yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu. Harris sangat meminati muzik rock dan penyanyi Faizal Tahir,”kata peserta dari Pulau Pinang ini sambil memberitahu keluarga banyak mendorongnya untuk masuk dalam pertandingan ini.
Semasa menghadiri sidang akhbar pada petang itu, gua turut ternampak kelibat guru vokal terkenal, Puan Siti Hajar. Gua ingat Cikgu Siti yang akan menjadi guru vokal kepada peserta cilik IK, tapi rupa-rupanya salah seorang peserta IK musim ini adalah anaknya sendiri.
“Mak yang galakkan saya untuk masuk IK. Mak cakap, kalau masuk IK boleh belajar dan timba pengetahuan lebih,”kata Muhammad Afif yang berusia 10 tahun.
Menurut Afif, sebagai anak kepada seorang guru vokal , dia tidak merasakan dia lebih bagus dari peserta-peserta yang lain.
“Kelebihan itu memang ada, tapi bagi saya, peserta lain juga sangat bagus. Lagipun, mak selalu sibuk dan jarang ada untuk ajar saya mengenai vokal,”ujarnya yang meminati Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
Sementara itu, Alif Satar kekal sebagai pengacara pada musim ini manakala Atilia turut dikekalkan sebagai juri tetap. Selain itu, tiga pengajar berpengalaman dibawa kembali pada musim ini bagi memberi tunjuk ajar kepada para peserta. Mereka adalah Cikgu Alfa Booty (komposer), Cikgu Delly (vokal) dan Cikgu Affizal (tarian).
Apa yang menariknya pada IK musim ini, penonton juga turut berpeluang menonton di sebalik tabir aktiviti-aktiviti peserta dalam Klip Mini Idola Kecil 3 yang akan bersiaran setiap Isnin hingga Khamis selama tiga minit pada jam 7.00 petang dan Klip Ekstra Idola Kecil 3 yang akan bersiaran selama setengah jam pada setiap hari Jumaat, jam 9.00 malam. Klip Ekstra akan dikendalikan oleh DJ Hot FM iaitu Ikhwan.
Jangan lupa untuk menonton Konsert Mingguan IK3 pada setiap hari Sabtu, jam 9.00 malam mulai 6 November ini hanya di TV9.
Sumber: Gua.com.my
Labels: Reality TV