Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

PERISTIWA 13 MEI 1969 MENUNJUKKAN PERPADUAN ANTARA KAUM BELUM TERCAPAI DI MALAYSIA. SETAKAT MANAKAH ANDA BERSETUJU DENGAN PERNYATAN.

PENDAHULUAN.

  • Ia menjadi sejarah hitam dalam perjalanan sejarah negara.
  • Peristiwa ini mempunyai kaitan dengan Pilihanraya Umum tahun 1969
  • Pilihanraya tersebut memberi tamparan ke atas kerajaan yang memerintah iaitu Parti Perikatan apabila kehilangan banyak kerusi dalam Pilihanraya tersebut.
  • Sentimen perkauman disuarakan dengan begitu lantang - Berlakunya perpecahan kaum yang boleh mengancam kestabilan negara.
  • Ketegangan yang berlaku di antara kaum yang terbesar di Malaysia iaitu Melayu dan Cina.
  • Didasari oleh perasaan syakwasangka antara satu sama lain.
  • Jelas menunjukkan perpaduan antara kaum belum tercapai pada masa itu.

PERISTIWA 13 MEI 1969

· Perselisihan antara kaum telah berlaku sejak sebelum itu lagi.

· Umpamanya pada 11 Jun 1964 – perbalahan antara Orang Melayu dan Orang Cina di Bukit Mertajam, Pulau Pinang – berlaku di Pasar – membawa kepada kecederaan

· Pada 24 April 1969 – di Jelutong, Pulau Pinang – pembunuhan ke atas seorang pekerja UMNO-badannya di conteng dengan cat berwarna merah.

· 4 Mei 1969 – pertempuran antara Polis peronda dengan sekumpulan pemuda di Kepong. Seorang daripadanya telah di tembak mati oleh Polis.

· Keluarga si mati yang dipengaruhi anasir komunis membuat permohonan untuk mengadakan perarakan.

· Mereka meminta perarakan tersebut di adakan pada 10 Mei.

· Pasukan keselamatan mengarahkan perarakan tersebut diadakan sehari sebelum itu.

· Kebimbangan Pasukan Keselamatan agar Pilihanraya yang akan diadakan tidak terganggu

· Pilihanraya Umum 1969 (10 Mei) telah berlangsung.

· Parti perikatan yang kehilangan banyak kerusi dalam Pilihanraya – sebelum itu Perikatan (UMNO, MCA, MIC), begitu yakin memenangi Pilihanraya tersebut.

· Sebaliknya di beberapa kawasan Perikatan kalah di tangan pembangkang

· Namun P. Perikatan masih menerajui tampuk pemerintahan

· Pembangkang bertindak seolah-olah “menang”- dengan mengadakan perarakan tanpa kebenaran pihak berkuasa.

· Perarakan yang diadakan itu menimbulkan kekacauan antara kaum Melayu dan Cina.

· Ahli perarakan- telah mengejek orang Melayu – menimbulkan kemarahan Orang Melayu.

· Orang Melayu bertindak balas dengan mengadakan perarakan. Berkumpul di rumah Menteri besar Selangor.

· Berlaku kekacauan – pergaduhan dan membawa kemusnahan harta benda.

· Keadaan bertambah tegang - merebak ke kawasan lain.

· Kerajaan isytihar undang2 darurat - perintah berkurung sehingga keadaan aman

PUNCA.

EKONOMI

- Jurang ekonomi yang ketara antara kaum - mengikut sektor pekerjaan.

- Orang Melayu bekerja dalam sektor yang agak mundur berbanding kaum lain seperti pertanian, perikanan dan sektor awam.

- Kaum lain menguasai sektor yang lebih penting – perniagaan, perusahan dll

- Agihan ekonomi yang tidak seimbang. Purata pendapatan kaum - Orang Melayu- RM369, Cina-RM837, India-RM669

- Timbul rasa ketidakpuasan hati terutama di kalangan orang Melayu

SOSIAL

- Hak Istimewa Orang Melayu – Orang Cina mempersoal hak istimewa Orang Melayu.

- Isu bahasa – kaum lain tidak bersetuju dan tidak puas hati selepas sepuluh tahun kemerdekaan

- Orang Cina mahukan Bahasa Cina dijadikan Bahasa pengantar di sekolah-sekolah

- Penglibatan dalam sektor perkhidmatan awam – sebagai anggota pasukan keselamatan – Majoriti yang menjadi anggota di dominasi oleh Orang Melayu.

- Isu penempatan kaum- Orang Cina berada dikawasan yang mempunyai kemudahan yang banyak – dapat dilihat di bandar .

POLITIK

- Parti pembangkang memainkan peranan - mengapi-apikan rakyat. (Parti Gerakan, Parti Progresif Rakyat (PPP), Parti Tindakan Demokrat (DAP) dll

- Menjelang Pilihanraya isu bahasa menjadi kempen utama dalam mendapat sokongan rakyat.

- Orang Cina dan & India mula kecewa dengan MIC & MCA kerana di anggap gagal mempertahankan hak mereka.

- Bertindak menyokong pembangkang.

- Dengan ketegangan yang di bangkitkan melalui isu-isu yang sensitif menyemarakkan api perkauman

LANGKAH

Semasa :

- Pengisytharkan Undang2 Darurat dan perintah berkurung

- Peranan pasukan keselematan- Polis, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk

mengawal keamanan

- Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) berfungsi untuk:

a) mengembalikan keamanan dan undang-undang negara

b) menentukan pentadbiran yang licin dan sempurna;

c) mengembalikan suasana harmoni dan kepercayaan antara kaum di seluruh negara.

Selepas

- Pelbagai dasar tlah digubal oleh kerajaan untuk menyemai perpaduan di kalangan masyarakat selepas peristiwa itu. Antaranya:

- Julai 1969 - Majlis Muhibah Negara. Bertujuan menggalakkan dan menyemai perasaan muhibbah, menjalinkan hubungan baik antara kaum seperti hubungan antara pekerja, hubungan melalui pelbagai kegiatan seperti gotong- royong dsb.

- 27 Jan 1970- Majlis Perundingan Negara (MAPEN). Bertujuan untuk memulihkan hubungan antara kaum. Majlis ini telah mengeluarkan garis panduan yg harus diikuti oleh semua pihak bagi mewujudkan kerjasama dan integersi sosial. Lahirnya Rukun Negara yg berfungsi untuk menyemai nilai2 mulia, spiritual, perpaduan, demokrasi dll.

- Feb 1971- Jabatan Perpaduan Negara (JPN)- diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Bertujuan untuk mengkaji dan mengemukakan cadangan2 bagi mewujudkan dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat. Dibahagikan kepada 2 bidang tugas iaitu:

o Penyelidikan- mengumpul data tentang masalah hubungan kaum dan perpaduan

o Gerakan- memastikan cadangan yg telah dibuat dijalankan

- 1 Jan 1972- Kementerian Perpaduan Negara. Bertujuan memelihara perpaduan rakyat, mewujudkan masyarakat yg berkerjasama serta bersatu padu. Dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu Pentadbiran dan Gerakan, Penyelidikan dan Hubungan Masyarakat.

- 1971- Dasar Ekonomi Baru dirancang untuk tempoh 20 tahun (1971-1990) dengan harapan dapat megurangkan jurang ekonomi antara kaum dan seterusnya membolehkan proses integrasi dilaksanakan dengan berkesan. 2 objektif utama ialah membasmi kemiskinan dan menyusan semula masyarakat.

- Pindaan Perlembagaan turut dilakukan. Ia bertujuan untuk menjaga keharmonian dan mengelakkan masalah perkauman tercetus semula.

o Akta Hasutan yg dipinda telah memperuntukan sekatan dan larangan perbincangan umum untuk beberapa perkara seperti perasaan tidak suka kepada YDPA, persoalan mengenai perkara 152 iaitu isu bahasa dan perkara 153 iaitu hak istimewa Orang Melayu.

o Undang2 berkaitan hak kebebasan bersuara- tidak boleh membangkitkan soal2 sensetif seperti agama, budaya dll yg boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati.

- Ogos 1971- Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Setiap kaum diberi hak yg seimbang dan setiap masyarakat juga harus menerimanya unuk menjamin kestabilan politik. 3 prinsip asas:

o Berdasarkan kebudayaan rakyat asal

o Unsur2 kebudayaan kaum lain yg sesuai boleh diterima

o Islam menjadi unsur penting

- Pada tahun2 berikutnya tumpuan terhadap perpaduan kaum terus diambil perhatian yang serius.

KESIMPULAN

- Oleh yg demikian sememangnya benar bahawa daripada peristiwa 13 Mei 1969, perpaduan antara kaum adalah tidak tercapai.

- Namun, selepas peristiwa pula hubungan kaum telah dapat dipulihkan dan dipertahankan sehingga pada masa kini.

- Peristiwa memberi kesan yg besar dalam pembentukan dasar negara iaitu segala yang dilaksanakan adalah berlandaskan perpaduan kaum.

Oleh: saya sendiri

Persoalan ::: Apakah yang dimaksudkan dengan Perlembagaan? Dengan menumpukan kepada tahun-tahun antara 1787 hingga 1877, bincangkan bagaimana Perlembagaan A.S (termasuk Pindaan2 Perlembagaan) menangani isu-isu kebebasan, kepelbagaian dan migrasi. Adakah Perlembagaan tersebut dapat memenuhi kesemua kehendak rakyat A.S?

Pengenalan
Perlembagaan bermaksud undang-undang tertinggi sesebuah negara. Perlembagaan berasal daripada perkataan Latin iaitu ‘constitutio’ yang bermaksud undang-undang penting yang biasanya dikeluarkan oleh maharaja. Apabila dikatakan perlembagaan maka ia adalah undang-undang yang bertulis.
Amerika Syarikat telah mendapat kemerdekaan pada 4 Julai 1776 daripada Britian. Oleh sebab Amerika Syarikat telah mendapatkan kemerdekaan maka perlu ada sebuah undang-undang bagi mengatasi masalah yang banyak berlaku pada masa itu di samping untuk menyatukan 13 buah negeri yang tidak bersatu.
Oleh itu, Artikel Persekutuan ( Articles of Confederation ) telah dibentuk sebagai percubaan untuk memenuhi keperluan rakyat Amerika Syarikat. Namun, banyak masalah telah timbul dan masalah tersebut sukar diatasi. Salah satu masalah yang sangat serius ialah masalah ekonomi. Masalah ekonomi ini benar-benar memberi kesan terhadap sektor pertanian dan ia juga memberi kesan kepada golongan petani. Petani-petani tidak puas hati apabila tanah-tanah mereka dirampas dan dilelong oleh pemiutang dengan harga yang murah. Sebagai tindak balas, petani-petani ini telah melakukan pemerontakan untuk memperjuangkan hak mereka. Pemimpin pemberontakan ini ialah Daniel Shay dari Massachusetts. Pemberontakan Shay yang berlaku pada 25 Januari 1787 telah menyedarkan kongres bahawa pentingnya menangani masalah kewangan dan masalah-masalah yang lain. Seterusnya ia mempamerkan kelemahan Artikel Persekutuan sebagai sebuah undang-undang pada masa itu.
Masalah yang serius ini menyebabkan perlunya diwujudkan satu bentuk kerajaan baharu yang lebih baik. Akhirnya, setelah perbincangan dibuat oleh pemimpin beberapa buah negeri, mereka berjaya memujuk kongres untuk meminda Artikel Persekutuan. Seterusnya satu persidangan telah diwujudkan khas untuk meminda Artikel Persekutuan yang dihadiri oleh semua wakil setiap negeri.
Bermula pada 30 Mei hingga 17 September 1787, berlakulah persidangan yang dikenali Konvensyen Philadelphia di Pennsylvania yang menyaksikan perdebatan politik yang hebat. Agenda khas iaitu untuk meminda Artikel Persekutuan ini telah membawa kepada pembentukan Perlembagaan Amerika Syarikat. Ini kerana dalam Artikel Persekutuan terlalu banyak yang perlu dipinda menyebabkan ia tidak digunakan lagi.
Perlembagaan Amerika Syarikat sempurna pada 17 September 1787 hasil daripada tiga kompromi iaitu kompromi besar, kompromi tiga per lima dan kompromi perdagangan di kalangan 13 buah negeri. Proses penggubalan perlembagaan ini sangat sukar seperti kata James Madison “setiap perkataan membezakan antara kuasa dengan kebebasan”.
Untuk mendapatkan pengesahan daripada semua negeri pula masalah turut dihadapi apabila wujudnya golongan yang menentang perlembagaan ini. Golongan yang menentang ini dikenali Antifederalis yang terdiri daripada golongan petani, penyokong Pemberontakan Shay dan mereka yang mengutamakan kebebasan dan bukannya kekuasan. Manakala golongan yang menyokong dikenali sebagai federlis yang sedar akan kepentingan perlembagaan ini.
Pada akhir bulan Jun 1788, perlembagaan ini telah mendapat pengesahan daripada sembilan buah negeri iaitu Delaware, Pennsylvania, New Jersey, Connecticut, Massachusetts, Maryland, Carolina Selatan, New Hampshire dan Virginia. New York belum mengesahkan kerana pihak antifederalis mempunyai pengaruh yang kuat. Oleh kerana New York merupakan negeri yang penting maka perlu langkah dijalankan untuk mendapat sokongan. Alexander Hamilton, John Jay dan James Madison berusaha mempengaruhi masyarakat di New York melalui penulisan, kempen, ucapan dan sebagainya. Hasil usaha ini, maka New York akhirnya telah menerima dan mengesahkan perlembagaan ini.
Begitulah kronologi pembentukan Perlembagaan Amerika Syarikat yang melalui perjalanan yang berliku-liku.


Bagaimana perlembagaan Amerika Syarikat menangani isu-isu kebebasan, kepelbagaian dan migrasi?
Apabila Perlembagaan Amerika Syarikat selesai sepenuhnya maka ia mula digunakan oleh Kerajaan Amerika Syarikat. Namun, perlembagaan yang baru dibentuk ini tidak memasukkan hak-hak asasi yang penting. Atas kesederan bahawa hak-hak ini adalah penting maka Kongres telah membuat pindaan. Sepuluh pindaan pertama dikenali sebagai Akta Hak ( Bill of Rights ). Selain itu, pindaan ini dilakukan atas kesedaran bahawa masa akan berubah dan amat penting perlembagaan itu sentiasa mengikut peredaran masa. Pindaan-pindaan ini dipersetujui dilakukan menurut fasal kelima perlembagaan asal.

Menangani Isu Kebebasan
Isu kebebasan merujuk kepada kebebasan beragama, kebebasan berucap, kebebasan akhbar, hak rakyat untuk berhimpun secara aman, perbicaraan menggunakan juri, menghantar petisyen kepada kerajaan dan sebagainya. Sememangnya rakyat Amerika Syarikat mementingan kebebasan.
Dalam kebebasan beragama misalnya ia sudah pun berlaku sejak awal lagi. Amerika Syarikat merupakan tempat bagi pelarian agama kristian daripada eropah. Agama Kristian mempunyai mahzab yang banyak dan pelbagai mahzab telah wujud di Amerika Syarikat yang menyebabkan rakyat merasakan terpulang kepada sesiapa untuk menganut apa agama yang disukai. Oleh sebab itu Amerika Syarikat pada masa kini tidak mempunyai agama rasmi.
Dalam kebebasan akhbar pula, kewujudan golongan iaitu golongan antifederalis yang banyak menentang golongan federalis memerlukan saluran untuk meluaskan pengaruh. Sebelum ini, pihak yang menyokong perlembagaan iaitu golongan federalis telah menggunakan saluran akhbar untuk mendapatkan sokongan. Oleh yang demikian, atas kesederan bahawa akhbar sepatutnya bebas daripada kawalan amat penting diambilkira untuk perkara-perkara yang berlaku pada masa akan datang. Contohnya, Amerika Syarikat akan melangsungkan Pilihan Raya. Pihak pembangkang haruslah mendapat kebebasan akhbar untuk menyebarkan pengaruh. Begitu jugalah dalam hal-hal kebebasan yang lain.
Daripada keadaan ini, pihak antifederalis telah menimbulkan usul ini. Ia juga sebagai jaminan supaya kebebasan ini akan membolehkan tindakan undang-undang tidak akan dikenakan. Hasilnya, jaminan ini telah dimasukkan ke dalam sepuluha pindaan pertama yang dikenali sebagai Akta Hak. Manakala masalah mengenai kebebasan itu dapat ditangani melalui Pindaan pertama yang menyatakan:
“ Kongres tidak akan menggubal undang-undang berkenaan dengan pengwujudan agama, atau melarang amalan bebasnya; atau menghalang kebebasan bersuara, atau kebebasan menerbitkan; atau hak rakyat untuk berhimpun secara aman, dan untuk menghantar petisyen kepada kerajaan bagi menangani aduan-adaun”
Dengan adanya pindaan ini maka rakyat Amerika Syarikat menjadi bebas iaitu selagi tidak bertentangan dengan perlembagaan. Lebih daripada itu, ia telah meletakkan Amerika Syariakt sebagai sebuah kerajaan yang bebas dan demokratik.


Menangani Isu Kepelbagaian
Isu kepelbagaian (diversity) merujuk kepada kepelbagaian etnik, budaya, adat, usia, gender, kaya, miskin dan yang paling penting ialah masalah perhambahan yang wujud di Amerika Syarikat. Sememangnya bumi Amerika Syarikat dihuni oleh pelbagai bangsa-bangsa dari Eropah termasuk kaum pribumi yang pelbagai. Seperti yang kita sedia maklum, bangsa-bangsa dari Eropah seperti Inggeris, Perancis, Sepanyol, dan lain-lain adalah penduduk yang meneroka bumi Amerika Syarikat. Pada abad berikutnya, semakin ramai bangsa Eropah datang ke Amerika Syarikat. Kaum pribumi sebagai kaum asal bumi Amerika Syarikat semakin dipinggirkan.
Akibat daripada wujudnya kepelbagaian ini, maka masalah telah timbul. Masalah yang jelas kelihatan ialah masalah diskriminasi yang berlaku ke atas orang kulit hitam dan kaum pribumi. Orang kulit hitam manjadi mangsa kepada orang kulit putih.
Manakala kaum pribumi Amerika Syarikat disingkirkan. Semasa perang kemerdekaan, kaum pribumi menyokong Britian untuk mengekalkan hak dan pegangan milik mereka. Namun kemenangan Amerika Syarikat ini telah menyebabkan kaum pribumi terpaksa melepaskan hak mereka. Kongres meluluskan Akta Pemindahan Pribumi pada tahun 1830. Melalui akta ini kaum pribumi telah berpindah ke barat. Disinilah kita dapat melihat perjalanan suku Cherokee daripada Georgia ke Oklahama. Perjalanan yang begitu menyeksakan di sepanjang, dan perjalanan itu dipanggil Trail of Tears.
Keadaan ini menunjukkan ketidakadilan berlaku. Masyarakat yang hidup dalam satu negara tidak mendapat hak yang sama. Untuk mengelakkan perkara yang buruk berlaku maka kerajaan telah mengambil langkah untuk menangani masalah yang melibatkan kepelbagaian ini. Maka dengan itu, kongres telah membuat pindaan perlembagaan. Ia adalah Pindaan Ke-14 yang dapat ditafsir, semua masyarakat akan mendapat hak yang sama rata.
Masalah perhambaan merupakan masalah yang paling mencabar kerajaan Amerika Syarikat. Sememangnya banyak pihak sangat-sangat mengharapkan masalah perhambaan ini dapat diselesaikan. Tetapi isu ini sentiasa dibangkitkan.
Perhambaan sebenarnya memberi pro dan kontra kepada wilayah-wilayah di Amerika Syarikat. Sebab itulah, ketika di kawasan utara mahukan perhambaan ini dihapuskan kerana hamba tidak diperlukan lagi, di kawasan selatan pula mahukan perhambahan ini dikekalkan kerana hamba penting untuk memajukan pertanian.
Masalah perhambaan ini juga boleh mengancam kepada pembentukan kesatuan. Ini kerana pada waktu ini, kerajaan sedang untuk menyatukan setiap kawasan. Namun, masalah perhambaan ini telah menghalang usaha ini. Sebagai langkah awal, Gerakan Antiperhambaan telah diwujudkan untuk menangani masalah ini. Selain itu, usaha menangani juga dilakukan melalui penulisan yang mengutuk perhambaan dan menggambarkan realiti perhambaan yang selalu ditindas dengan kekejaman. Contohnya, tulisan Harriet Beecher Stowe yang bertajuk Uncle Tom’s Cabin pada 1852 dan mendapat sambutan ramai.
Namun begitu, perhambaan merupakan satu masalah yang sukar diatasi. Malah Perang Saudara telah meletus pada 1861-1865 disebabkan oleh wilayah yang mahukan perhambaan dilenyapkan menentang kawasan yang mahukan perhambaan dikekelkan. Kerajaan Amerika Syarikat mungkin lupa bahawa untuk menyelasaikan sesuatu masalah, perlembagaan haruslah dilihat. Selepas berakhirnya Perang Saudara, Amerika Syarikat telah mula sedar dan melalui era Pembentukan Semula. Akhirnya, pada 18 Disember 1865, Pindaan Perlembagaan Ke-13 telah diluluskan. Pindaan ini menjamin kebebasan hamba abdi dan yang baiknya negeri-negeri selatan telah menerimanya.


Menangani isu migrasi
Isu migrasi merujuk kepada penghijrahan atau perpindahan penduduk dari luar ke negara Amerika Syarikat. Sememangnya sejak awal lagi, bumi Amerika Syarikat telah menjadi tumpuan imigran asing. Ini kerana kejayaan bangsa eropah yang awal iaitu Inggeris, Sepanyol, Perancis dan lain-lain mendapat tempat tinggal yang baik di bumi Amerika Syarikat menyebabkan bangsa-bangsa lain turut tertarik datang ke bumi Amerika Syarikat. Ini ditambahkan lagi dengan Amerika Syarikat mempunyai sumber ekonomi yang banyak dan amalan keagamaannya yang bebas begitu menarik perhatian imigran.
Menjelang abad ke-19 pula, Amerika telah mengalami perkembangan ekonomi yang pesat. Kemajuan sains dan teknologi menyebabkan banyak ciptaan telah dicipta. Antaranya ialah enjin wap, kereta api dan sebagainya. Selain itu, industri turut berkembang dengan pesatnya. Oleh itu, faktor ini turut menjadi pendorong kepada kedatangan imigran.
Imigran yang datang kebanyakannya daripada bangsa eropah itu sendiri. Antaranya, Jerman, Ireland dan Eropah Tengah telah mewujudkan lagi kepelbagaian di Amerika Syarikat. Migrasi yang berleluasa ini menyebabkan timbul masalah sentiment seperti anti-Yahudi, anti-katolik dan antiimigran. Selepas itu, muncul gerakan “Know-Nothing Movement” yang dipelopori oleh orang kulit putih. Kemasukan ramai imigran ini didakwa akan memusnahkan segala yang telah dibentuk oleh Amerika Syarikat Sebelum ini. Tindakan diskriminasi juga telah berlaku ke atas imigran. Namun, mengingatkan kembali peristiwa yang berlaku ke atas hamba abdi, mereka sedar bahawa tindakan ke atas imigran ini akan mengundang masalah.
Oleh yang demikian, cara untuk menangani masalah ini, Kongres telah meluluskan Pindaan Perlembagaan ke-14 dan ke-15. Kedua-dua Pindaan ini menyatakan bahawa semua yang berada di Amerika Syarikat pada ketika itu akan menjadi warganegara Amerika Syarikat dan layak mengundi. Oleh itu, dengan wujudnya persamaan ini membolehkan masalah sebelumnya diselesaikan.

Adakah Perlembagaan ini berjaya memenuhi kesemua kehendak rakyat Amerika Syarikat?
Perlembagaan Amerika Syarikat termasuk Pindaan-pindaan sememangnya bertujuan untuk menangani banyak isu. Ia adalah kata pemutus kepada segala permasalahan yang berlaku dan segala yang bertentangan dengan perlembagaan akan dikenakan undang-undang.
Merujuk kepada banyak permasalahan yang timbul, perlembagaan Amerika Syarikat berjaya menyelesaikan banyak masalah sama ada perlembagaan asal mahupun perlembagaan yang dipinda. Dapat juga dilihat, perlembagaan Amerika Syarikat ini akhirnya diterima oleh semua negeri di Amerika Syarikat pada masa itu yang menunjukkan perlembagaan ini mampu menyelesaikan masalah.
Namun begitu, terdapat juga masalah yang tidak dapat memuaskan hati rakyat Amerika Syarikat. Contoh jelas yang kita boleh lihat disini ialah masalah perhambaan. Sememangnya masalah perhambaan dikatakan sudah selesai setelah Pindaan Perlembagaan ke-13 dibuat. Hamba dilarang sama sekali diamalkan dan seharusnya hamba mestilah hidup bebas. Tetapi, penyelesaian ini hanyalah di atas kertas sahaja, realitinya masalah ini sukar diselesaikan. Nama ‘hamba’ berjaya dimansuhkan namun apa yang masih mengekalkan keadaan mereka ialah kesemua mereka berkulit hitam. Orang kulit hitam ini masih lagi tidak mahu berpisah dalam komuniti mereka yang menyebabkan sebarang perlakuan yang tidak adil ke atas mereka akan dibalas. Sebab itulah kita melihat sentiasa adanya pergaduhan kaum diantara kulit putih dan kulit hitam. Ini menunjukkan perlembagaan ini masih tidak memuaskan hati sesetengan rakyat Amerika Syarikat.
Berlainan pula apa yang berlaku ke atas kaum pribumi Amerika Syarikat. Sememangnya dalam Pindaan Perlembagaan ke-14 menyatakan semua warganegara Amerika Syarikat mendapat hak yang sama. Bermakna kaum pribumi turut mendapat hak mereka. Ini menunjukkan kerajaan Amerika Syarikat telah membuka ruang kepada mereka untuk terlibat sama dalam bersama-sama terlibat dalam ekonomi, sosial dan politik negara. Namun, sikap kaum pribumi itu sendiri yang tidak mahu terlibat meminggirkan mereka. Jadi disini, wujud juga pihak yang seakan-akan tidak kisah akan perlembagaan ini.

Kesimpulan
Oleh yang demikian, Perlembagaan Amerika Syarikat (termasuk pindaan-pindaan) merupakan suatu yang berfungsi besar dalam menjaga kemakmuran Amerika Syarikat. Di awal pembentukan perlembagaan Amerika Syarikat ini, ia terpaksa melalui pelbagai halangan-halangan yang benar-benar manguji kerajaan Amerika Syarikat. Halangan-halangan ini yang berperanan sebarang kelemahan akan dikemaskini. Sebab itulah Perlembagaan Amerika Syarikat menjadi model kepada perlembagaan negara-negara lain. Apa yang menarik dalam perlembagaan Amerika Syarikat ini, ia telah menunjukkan kepada dunia bahawa rakyatnya yang bersatu dengan slogan ‘We are American’. Ia juga pemangkin kepada kegemilangan negara itu yang pada era ini dikenali kita kenali sebagai ‘ America Century ‘. Amerika Syarikat telah menjadi peneraju dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi, ekonomi, social, politik, pendidikan, ketenteraan dan sebagainya. Keseluruhannya, itulah hakikat yang berlaku.
Artikel-artikel Perlembagaan Amerika Syarikat boleh dilihat dalam banyak buku dan laman web. Lawatilah: http:// www.historyplace.com/unitedstates/revolution/us-constitution.htm. Artikel asal boleh dilihat dan dibaca dalam web ini.







Bibliografi
Drewry O’Connor Freidel., America Is, Oiho, Charles E. Merrill Publishing Co. 1984

Herman L. Crow dan William L. Turnbull, American History: A Problems Approach,
Vol. 1, New York, Holt, Rhinehart & Winston, Inc

http// ngeorgia.com/history/nghisttt.html

http:// www.historyplace.com/unitedstates/revolution/us-constitution.htm

http:// www.sjchs-history.org/shay.html

Samuel Steinberg ., The United States: Story of a Free People, New York, Allyn And
Bacon, Inc., 1964

Shakila Yacob, Amerika Syarikat: Pembentukan Negara Bangsa, Kuala Lumpur, Dewan
Bahasa dan Pustaka, 2005

Oleh: Az UM

Pendahuluan
Penjelajahan bukan sesuatu perkara yang baru dalam sejarah peradaban manusia. Ini kerana penjajahan sudah pun berlaku semasa zaman kerajaan atau dinasti awal. Orang Mesir merupakan antara bangsa yang terawal dalam melakukan pelayaran jarak jauh. Sekitar kira-kira 2600 SM, Firaun Shefru telah membuat pelayaran menyusuri pantai Mediterranean sehingga ke bandar Byblos. Ekspedisi sebanyak 40 buah kapal itu membawa pulang kayu balak yang banyak. Begitu juga dengan bangsa Phoenicia yang terkenal dengan kemahiran dalam penjelajahan dan pelayaran. Sekitar 700 SM, mereka telah berjaya belayar menyeberangi laut Mediterranean. Jajahannya yang paling penting ialah Carthage iaitu sebagai pusat empayar untuk barat Sicily, pantai Sepanyol dan Afrika Utara. Selain daripada itu, terdapat juga bangsa lain yang tidak kurang hebatnya dalam penjelajahan seperti bangsa Greek, Cina, India dan lain-lain lagi. Semasa zaman kebangkitan empayar Islam pula, penjelajahan sangat giat dilakukan. Sehingga munculnya ramai tokoh-tokoh pelayaran yang terkenal seperti al-Idrisi, Ibn Battutah, Sulayman al-Mahri dan ramai lagi. Kebanyakan penjelajahan ini pula berjaya sampai ke benua Afrika. Oleh yang demikian, kita dapat lihat bahawa benua Afrika merupakan telah lama berinteraksi dengan dunia luar.

Keagungan kerajaan Islam ini tidak dapat dipertikan lagi. Ini kerana empayarnya bukan sahaja meliputi sebahagian Asia dan sebahagian Afrika malah meliputi sebahagian Eropah. Kehadiran Islam di Eropah pada 711 Masihi inilah yang memberi sinar pembaharuan kepada bangsa Eropah yang pada masa itu yang berada pada zaman kegelapan. Kepakaran orang Islam dalam pelbagai bidang seperti Astronomi, geografi, sains dan matematik, ilmu pelayaran dan sebagainya memberi manfaat kepada bangsa Eropah itu sendiri. Dengan itu, semua ini dipelajari oleh bangsa Eropah dan telah mengaplikasinya dengan baik. Kesannya, perubahan ini menyebabkan bangsa Eropah mula sedar yang mereka sedang dijajah oleh kerajaan Islam pada masa itu dan mula untuk membebaskan dari penjajahan itu. Ketika itulah, zaman Renaisans telah muncul yang kita ketahui banyak merubah pemikiran bangsa Eropah.

Berdasarkan perkembangan ini, maka bermulanya penjelajahan dan pelayaran bangsa Eropah ke seberang laut. Namun perlu diingat bahawa sebelum itu penjelajahan bangsa Eropah sudah pernah dilakukan seperti yang dilakukan oleh Givovanni de Plano Carpini, Willem van Rujsborek dan Marco Polo pernah sampai ke Asia sejak abad ke- 13 lagi. Penjelajahan secara besar-besaran pula pelopori oleh bangsa Portugis dan Sepanyol iaitu berdasarkan Perjanjian Tordesillas yang ditandatangani pada 9 Jun 1494. Perjanjian ini telah membahagikan dunia kepada dua “ wilayah pengaruh” (sphere of influence atau sphere interest). Menurut perjanjian ini Sepanyol akan berhak ke atas semua kawasan di Barat manakala Portugal berhak semua kawasan di sebelah Timur. Kedua-dua negara ini mempeloporinya kerana mereka ada bangsa yang paling terdedah kepada ilmu-ilmu pelayaran Islam. Ia juga disebabkan oleh keadaan bangsa-bangsa lain di Eropah seperti Britian, Perancis, Jerman dan lain-lain masih belum mempunyai politik yang stabil. Penjelajahan yang dilakukan ini akhirnya bertukar kepada penjajahan dan penaklukan ke atas negara yang dijelajah. Afrika merupakan benua terawal yang ditemui oleh para penjelajah Portugis. Oleh itu, penemuan Afrika merupakan sesuatu yang menguntungkan kepada bangsa Eropah yang mana akhirnya menjadi rebutan kepada kepada kuasa-kuasa di Eropah pada abad seterusnya.


Faktor Yang Mendorong Persaingan Kuasa Barat di Afrika
Secara umumnya, terdapat dua faktor yang mendorong kuasa barat untuk menguasai wilayah-wilayah di Afrika. Ini kita kenali sebagai faktor penolak dan faktor penarik. Mengapa saya mengatakan faktor penolak dan faktor penarik, ini kerana sememangnya ia adalah berkaitan antara satu sama lain. Faktor penolak merujuk kepada keadaan di Eropah itu sendiri yang menyebabkan bangsa Eropah itu ingin keluar ke seberang laut. Manakala faktor penarik pula merujuk kepada perkara yang menarik minat kuasa Eropah untuk menguasai wilayah-wilayah di Afrika itu sendiri.

Faktor Penolak
Kesan Daripada Zaman Renaisans

Eropah yang sebelum ini berada dalam zaman kegelapan mula muncul semula apabila perubahan zaman berlaku. Zaman baru itu kita kenali sebagai zaman Renaisans yang bermaksud “Kelahiran Semula”. Zaman ini berlangsung dari abad ke-14 hingga abad ke-16 yang membolehkan Eropah mencapai kegemilangan dari segi politik, sosial dan ekonomi. Ciri-ciri Renaisans seperti sifat Humanisme, Individualisme, Sekularisme dan Kritikal memberi kesan kepada kemunculan negara bangsa di Eropah. Bangsa Eropah mula melihat diri mereka sebagai bangsa Portugis, Sepanyol, Inggeris, Perancis dan sebagainya. Semangat nasionalisme mula berkobar-kobar dalam diri bangsa Eropah. Renaisans juga membangkitkan sifat kapitalisme yang cukup besar. Ini menggalakkan bangsa eropah berebut-rebut untuk menggumpul kekayaan. Malah dengan kemajuan sains dan teknologi pula membolehkan bangsa eropah mampu untuk melakukan pelayaran ke seberang laut. Berdasarkan kesan diatas maka ia adalah faktor yang membawa kepada bermulanya kebangkitan bangsa Eropah yang sebelum ini berada dalam zaman kegelapan. Apa yang penting zaman Renaissans ini berjaya mengubah cara berfikir bangsa Eropah. Melalui faktor ini juga ia membawa kepada sebab-sebab lain untuk ke seberang laut.


Galakan Putera Henry
Putera Henry merupakan orang yang seringkali disebut-sebut oleh para Sejarawan dalam membincangkan proses penjelajahan ke seberang laut. Putera Henry (1394-1460M) merupakan putera ketiga Raja John I iaitu Raja Portugal yang sangat berminat dalam bidang geografi dan pelayaran serta ilmu kartografi. Usaha beliau untuk menjadi “Ahli Pelayaran” akhirnya berjaya dan ini memberi semangat untuk beliau mengembangkan lagi ilmu itu. Oleh yang demikian, Henry telah menubuhkan sekolah pelayaran yang bertujuan untuk menggalakan pelayaran ke seberang laut. Henry juga membiayai segala perbelanjaan yang tinggi. Menurut Preston E. James dan Geoffrey J. Martin, Putera Henry meminta bantuan para sarjana-sarjana dari semua agama yang mahir dalam bidang pelayaran, geografi, kartografi, matematik, astronomi dan pakar-pakar yang boleh membaca manuskrip dalam pelbagai bahasa dari sekitar Mediterranean ke Sagres. Ia bertujuan untuk menjadikan sekolah pelayaran tersebut akan melahirkan seorang pelayar yang baik, mahir dalam membaiki kapal, mengetahui keadaan cuaca dan sebagainya.
Oleh kerana Portugal pernah bernaung dibawah kerajaan Islam pada masa dahulu maka dengan itu Putera Henry telah menakluki Ceuta yang terletak di Afrika Utara. Terdapat juga catatan lain yang mengatakan bahawa Henry pernah menemani ayahnya menjelajah Ceuta dan ayahnya telah mengajar Henry mengenai Afrika. Ekspidisi terawal yang dibiyai oleh Henry telah berjaya menemui bahagian barat Afrika seperti Maldeira, Pulau Azores dan Tanjung Verde (Cape Verde). Jadi disini, Putera Henry sememangnya berperanan besar dalam memulakan penjelajahan ke seberang laut dan Afrika khususnya. Ini membawa kepada kemunculan Bartholomew Diaz yang berjaya belayar sehingga ke Tanjung Pengharapan pada tahun 1486. Manakala kejayaan diteruskan lagi oleh Vasco da Gama yang berjaya belayar sampai ke India pada tahun 1498. Malah, kejayaan diteruskan lagi oleh Diego Lopez de Sequira apabila tiba di Melaka pada 1509. Menurut Catholic Encyclopedia, Putera Henry ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Afrika, membuka hubungan dagangan dan ingin mencari kerajaan Kristian pimpinan Prester John di Afrika. Menurut Barbara W. Andaya dan Leornard Y. Andaya menyatakan bahawa Henry menggalakkan banyak pelayaran untuk menjadi motivasi kepada pelayaran-pelayaran seterusnya. Ringkasnya disini, Putera Henry amat berperanan besar dalam melakukan pelayaran ke Afrika. Pada abad berikutnya pula, kebanyakan kuasa Eropah mula bangkit untuk berlumba-lumba untuk datang ke Afrika.

Kejatuhan Konstantinopole Kepada Kerajaan Islam

Semenjak zaman kerajaan Rom lagi, aktiviti perniagaan di Eropah dikuasai oleh peniaga-peniaga Itali. Ini kerana pelabuhan Venice menjadi pelabuhan yang sangat penting di Mediterranean yang membekalkan bahan-bahan dagangan yang sangat diperlukan oleh Eropah iaitu barangan dari China, Jepun dan rempah-ratus dari Kepulauan Melayu. Manakala emas, gading, hamba, lada hitam yang banyak diperolehi dari Afrika dijual oleh pedagang Islam. Empayar Turki Uthmaniyah pula yang semakin kuat dan telah melakukan serangan ke atas Konstantinople. Akhirnya pada tahun 1453 M, Konstantinople telah berjaya ditawan oleh kerajaan Islam. Perubahan berlaku apabila ia telah menggangu perdagangan antara Asia dan Afrika dan secara langsung memberi kesan buruk kepada pembeli-pembeli di Eropah. Konstantinople yang kini menjadi tapak bagi orang Islam telah membolehkan orang Islam mengawal perdagangan apabila menjadi orang tengah kepada perdagangan Eropah dengan Asia dan Afrika. Disini, orang Islam bebas menjual barang dagangan dengan mahal kepada pembeli-pembeli di pelabuhan Venice. Sebaliknya pula berlaku, ia telah menjadikan pelabuhan Venice begitu popular di Eropah. Ia adalah sesuatu yang tidak baik bagi kuasa Portugis dan ingin menyekat monopoli Venice. Untuk itu, mereka mencari alternatif lain untuk mendapatkan barangan penting itu. Oleh itu, Portugis mula membuat pelayaran ke seberang laut untuk mencari barangan tersebut sehingga menemui Afrika. Kejayaan Portugis mendapatkan barangan yang mereka perlukan pula telah menyebabkan pelabuhan Venice telah merosot.

Hasrat God, Gold dan Glory
Hasrat God, Gold dan Glory merupakan tiga elemant yang turut mendorong kuasa barat datang ke seberang laut. Malah sesetengah sejarawan menanggap ia adalah faktor paling penting dalam proses penjelajahan itu. Dalam konteks ini, God merujuk kepada aspek keagamaan. Agama Kristian merupakan agama yang menjadi anutan masyarakat Eropah. Faktor agama ini mempunyai bukti yang jelas dalam melakukan penjelejahan ini kerana dipengaruhi peristiwa di Eropah pada masa itu. Jika kita lihat, era kebangkitan Islam pada abad ke-7 masihi telah memberi kekuatan kepada Islam itu sendiri sehingga berjaya sampai ke seluruh Arab, sebahagian Afrika dan Eropah malah di Asia Tenggara. Oleh kerana raja-raja di Eropah begitu membenci agama Islam maka berlakulah peperangan antara kedua-dua kerajaan ini. Inilah yang kita kenali sebagai Perang Salib (1096-1291M) yang berlaku beratus tahun yang sukar untuk dihentikan. Sekali lagi, peperangan tercetus apabila kerajaan Islam telah berjaya menawan Konstantinopole pada 1453 Masihi. Dendam membara orang kristian begitu kuat kerana Konstantinopole merupakan pusat kerajaan Kristian yang agung sejak zaman Rom lagi. Melihat kepada segala peristiwa ini maka dapatlah dirumuskan bahawa faktor agama adalah faktor yang amat penting dalam melakukan penjelajahan ini. Salah satu buktinya ialah pelayaran bangsa Eropah itu didorong oleh semangat mencari kerajaan Kristian yang dipimpin oleh Prester John di Afrika. Kuasa Portugis seterusnya datang ke Asia Tenggara pula bertujuan untuk mengkristiankan masyarakat di situ kerana telah lama dikuasai Islam.
Hasrat Gold pula merujuk kepada faktor ekonomi. Eropah pada masa itu juga dilanda musim sejuk. Maka dengan itu, masyarakatnya amat memerlukan rempah-ratus untuk membolehkan makanan itu menjadi tahan lama dan menyedapkan makanan. Penjelajahan ini telah memaksa mereka mencari bahan makanan ini untuk keperluan. Tambahan pula, penawanan Konstantinopole telah menyebabkan harga barangan ini telah menjadi mahal kerana peniaga Islam sebagai pembekal sumber utama telah menjual barangan itu dengan harga yang mahal. Seterusnya, perasaan timbul untuk melakukan penjelajahan iaitu untuk mendapatkan sendiri barangan yang diperlukan. Penjelajahan yang dilakukan itu pula telah menemui Afrika yang dilihat begitu banyak sumber ekonomi. Selepas itu, Afrika telah menjadi rebutan kuasa-kuasa Eropah.
Hasrat Glory pula merujuk kepada kemegahan. Bangsa Eropah pada masa itu telah dipengaruhi oleh kesan zaman renaisans yang telah mewujudkan negara bangsa. Negara-negara di Eropah itu masing-masing dengan sikap individualistic, kapitalisma, semangat inkuiri dan sebagainya. Ini menyebabkan mereka berlumba-lumba untuk mencipta kemegahan dengan pergi melakukan penjelajahan. Kemegahan awal dilakar oleh bangsa Portugis dan Sepanyol kerana paling awal melakukan penjelajahan ke seberang laut. Kemegahan Portugis dapat dilihat apabila mereka telah menemui Afrika dan Kepulauan Melayu. Penemuan Afrika merupakan sesuatu yang penting dalam sejarah kerana ia telah mengubah anggapan masyarkat di Eropah yang sekian lama berfikir bahawa bumi ini berbentuk segiempat. Seterusnya ia telah menjadi panduan kepada bangsa-bangsa Eropah yang lain untuk melakukan penjelajahan. Sekali lagi, penjelajahan awal telah berubah kepada proses penjajahan ke atas negara-negara yang telah ditemui.

Revolusi Perindustrian
Revolusi Perindustrian berlaku di seluruh Eropah pada abad ke-18 merupakan factor kemuncak kepada penjelajahan kuasa barat ke seberang laut. Kebanyakan sejarawan bersetuju bahawa zaman ini amat memaksa bangsa Eropah melakukan penjelajahan seterusnya penjajahan untuk menghidupkan mesin industri yang telah berkembang maju pada masa itu. Terdapat dua aspek penting yang mereka lakukan iaitu mencari bahan mentah dan mencari pasaran bagi barangan keluaran akibat lebihan dalam pengeluaran barangan. Kedua-dua ini dibantu dengan kemajuan dalam perkembangan sains dan teknologi. Keperluan terhadap bahan mentah ini dapat dilihat dengan keperluan bahan seperti bijih timah dan petroleum. Afrika merupakan antara negara yang memiliki sumber itu selain Asia Tenggara. Kedudukan yang hampir dengan Eropah menyebabkan setiap negara di Afrika telah dikuasai oleh kuasa Eropah. Ini berdasarkan keperluan terhadap bahan mentahnya.
Selain itu, revolusi perindustrian ini juga menyebabkan barangan dapat dikeluarkan dengan banyaknya. Maka keluaran barangan kilang, telah menyebabkan lebihan berlaku. Untuk itu, mereka terpaksa mencari pasaran untuk membolehkan barangan itu dapat dijual dan digunakan oleh masyarakat. Oleh kerana Afrika telah dijajah oleh banyak negara Eropah maka barangan itu telah dipasarkan ke Afrika untuk digunakan bukan sahaja bangsa Eropah yang telah mendirikan kerajaan disitu malah untuk kegunaan masyarakat pribumi Afrika itu sendiri.
Kerancakan zaman revolusi perindustrian ini disebabkan oleh penciptaan pelbagai teknologi yang amat penting pada masa itu. Contohnya, kapal wap dapat belayar dengan lebih laju dan mengangkut bahan mentah dengan lebih banyak. Pengunaan kapal ini banyak mambantu dalam proses revolusi kerana ia menjadi agen perhubungan yang sangat penting. Selain itu, penciptaan alat persenjataan pula menyebabkan proses penjajahan lebih giat dijalankan. Untuk mencipta alat-alat senjata ini bahan mentah seperti besi dan bijih timah amat diperlukan. Salah satu lagi industri yang penting ialah industri mengetin makanan. Dengan adanya industri ini maka makanan dapat disimpan dengan lebih lama dan amat penting digunakan dalam pelayaran.
Zaman revolusi perindustrain di Eropah begitu memberi kesan kepada perhubungan sejarah dunia. Penjajahan kuasa Eropah di Afrika menyebabkan mereka terpaksa membentuk unit politik untuk mentadbir negara terbabit untuk melancarkan proses memonopoli sumber ekonomi di kawasan tersebut. Ini kerana seringkali keadaan anarki dan perasaan tidak puas hati di kalangan penduduk tempatan terhadap dasar penjajahan ini. Selain itu, kesan positif juga dilihat apabila perkembangan fizikal negara yang dijajah itu sendiri seperti terbinanya jaringan pengangkutan dan sebagainya.

Faktor Penarik
Kekayaan Hasil Bumi Afrika

Penjelajahan juga disebabkan oleh tarikan ke atas Afrika itu sendiri. Afrika merupakan sebuah benua yang kaya dengan hasil bumi. Ini termasuklah emas dan rempah ratus yang menjadi idaman di Eropah pada masa itu. Sebelum penjelajahan secara besar-besaran, Afrika sudah terkenal dengan kekayaan ekonominya. Ini dapat dilihat semasa zaman Rome lagi dan pelabuhan Venice merupakan pelabuhan utamanya. Bangsa Eropah begitu tertarik untuk datang ke Afrika juga kerana banyak mendengar cerita mengenai kekayaan emas di Afrika. Misalnya, pedagang-pedagang Eropah yang mengembara dengan merentasi gurun Sahara di selatan menceritakan tentang pantai emas (gold coast) yang mempunyai sumber emas yang banyak. Terdapat juga cerita yang mengatakan wujudnya lombong permata yang dimiliki oleh Raja Sulaiman yang tersembunyi di salah sebuah tempat di Afrika. Selain emas dan permata, Afrika juga menjadi tarikan kerana banyak sumber lain seperti gading gajah, rempah ratus, lada hitam, sutera dan sebagainya.
Melihat kepada kekayaan itu, bangsa Portugis begitu tertarik dan telah datang ke Afrika untuk mendapatkan kekayaan ekonomi itu. Pelayaran Bartholomew Diaz berjaya belayar sehingga menemui Tanjung Pengharapan pada tahun 1486. Dengan penemuan ini, Afrika secara terus-menerus telah dijelajah oleh orang-orang Portugis. Sehinggakan berjaya menguasai perdagangan rempah, sutera dan barang-barang mewah lain di Afrika. Bagi Portugis, keperluan terhadap emas dan permata ini adalah untuk perbendaharaan bagi membiayai ekspidisi ke kawasan-kawasan lain. Apabila menyedari bahawa amat penting untuk menguasai kawasan-kawasan yang menghasilkan sumber ekonomi ini maka Portugis mengambil langkah untuk menakluk kawasan tersebut. Dengan itu, setiap kapal yang digunakan oleh Portugis akan dilengkapi dengan kelengkapan perang apabila pergi di sesebuah kawasan. Portugis datang dengan alat persenjataan yang canggih iaitu dengan ingin menyerang sesebuah kawasan. Ini menyebabkan pemerintah pribumi Afrika terpaksa tunduk kepada kehebatan Portugis. Selepas itu, Portugis memaksa mereka membayar cukai yang tinggi. Contoh ini boleh dilihat ke atas Swahili yang terletak di pantai barat Afrika yang terpaksa tunduk kepada kuasa Portugis. Namun begitu, terdapat juga kawasan di Afrika yang ingkar dengan tektik Portugis ini. Contohnya, Mombasa dan Zanzibar yang telah diserang oleh Portugis pada tahun 1503. Selepas menguasai kawasan-kawasan tersebut, langkah seterusnya diambil dengan membina kota di kawasan tersebut dan dijadikan sebagai kawasan pelabuhan bagi tujuan perdagangan.
Pada abad ke-17 pula, kuasa Belanda telah muncul dan menyaingi kuasa Portugis di Afrika. Kedatangan Belanda juga dipengaruhi dengan tarikan ekonomi yang terdapat di Afrika. Kejayaan Belanda ini dapat dilihat apabila berjaya menguasai kawasan penting di Afrika iaitu Table Bay dan Cape Town pada 1652. Persaingan antara Portugis dan Belanda bukan berlaku di Afrika sahaja malah kedua-dua negara ini turut bersaing untuk menguasai Asia Tenggara.

Perdagangan Hamba
Afrika juga menjadi tumpuan kepada kuasa-kuasa barat kerana terdapat sumber hamba yang ramai. Hamba menjadi penting kerana keperluan tenaga buruh untuk memajukan ladang-ladang tebu di Dunia Baru. Hamba-hamba yang diperdagangkan ke Dunia Baru ini dikenail sebagai Perdagangan Hamba Trans-Atlantik. Import pribumi Afrika ini dimulakan oleh Portugis namun ianya semakin meningkat apabila kuasa Belanda semakin kuat di kawasan persisiran pantai Afrika. Menjelang abad ke-17 pula, kuasa England dan Perancis telah berjaya menempatkan diri di Afrika. Dengan pengaruh yang kuat kedua-dua kuasa ini, maka persaingan ke atas Afrika juga semakin sengit. Bagi British, hamba ini diperlukan untuk mengusahakan ladang mereka yang terletak di Caribbean. Perdagangan hamba ini terus meningkat apabila usaha-usaha daripada pedagang-pedagang hamba Perancis semakin ramai. Pada masa itu juga, kawasan Dunia Baru amat penting dalam perladangan tembakau iaitu di Virginia dan perdagangan beras di Maryland. Maka keperluan terhadap hamba terus meningkat. Pada abad ke-17 juga, Belanda, England, Perancis telah menubuhkan firma untuk mengangkut hamba dari Afrika ke Amerika. Keadaan ini menyebabkan berlakunya peningkatan yang amat ketara. Contohnya, di kawasan British yang terletak di Caribbean, import hamba meningkat dari jumlah 260,000 iaitu pada abad ke-16 kepada sejumlah 1.8 juta pada abad ke-18. Oleh yang demikian, melalui perdagangan hamba ini juga interaksi antara Eropah, Afrika dan Amerika begitu penting.
Walau bagaimanapun, apa yang cuba disampaikan disini adalah perdagangan hamba ini menjadi faktor penarik dan membawa kepada kedatangan kuasa Eropah ke Afrika.


Kesimpulan

Oleh itu, dapat disimpulkan disini bahawa faktor yang membawa kepada kedatangan kuasa barat ke Afrika ini disebabkan oleh faktor penolak dan faktor penarik iaitu seperti yang dibincangkan diatas. Kedatangan ke Afrika yang dipelopori oleh Portugis ini menyebabkan kuasa-kuasa Eropah yang lainnya mengikutinya. Malah, kedatangan secara berterusan ini mengakibatkan berlakunya persaingan dan pertelingkahan sesama mereka. Namun, setelah menganalisis kesemua faktor ini, faktor yang paling dominan yang menyebabkan bangsa Eropah pergi menjelajah ialah untuk melaksanakan hasrat God iaitu aspek keagamaan. Terdapat banyak sebab yang membuktikan motif ini. Perjanjian Tordesillas sudah cukup menjelaskannya yang mana semasa perjanjian ini dibuat ia turut dihadiri oleh Pope, raja-raja kristian dan sebagainya. Dengan pengelibatan pihak gereja dalam perjanjian ini, maka motif keagamaan itu semakin jelas. Selain itu, kita juga dapat melihat sebab seperti perasaan ingin membalas dendam yang ingin dilakukan oleh Portugal dan Sepanyol yang pernah ditakluk oleh kerajaan Islam. Motif untuk mencari kerajaan Kristian pimpinan Prester John pula meningkatkan semangat untuk menjelajah. Begitu juga dengan kesan-kesan Perang Salib yang telah membawa kepada penyatuan Eropah untuk menentang Islam. Penawanan Konstantiople iaitu kota agung bagi kerajaan Kristian sejak zaman Rome lagi oleh kerajaan Turki Uthmaniyah pada tahun 1453M menyemarakkan lagi usaha untuk menyekat pengaruh Islam ke seluruh dunia. Sebab itulah juga, Portugis berusaha mencari Asia Tenggara untuk menghapusakan monopoli Islam. Malah, setiap pelayaran yang bangsa Eropah lakukan turut diikuti oleh paderi-paderi dan membina gereja di setiap tempat yang mereka takluki. Apa yang jelas, untuk menyebarkan agama Kristisn, kuasa-kuasa Eropah mengunakan alasan yang kononnya ingin memonopoli perdagangan. Semua ini lebih kepada aspek keagamaan.
Manakala faktor-faktor lain hanyalah faktor kedua iaitu selepas misi keagamaan dilaksanakan.

Bibliografi


Collins, R. O., Europeans in Africa, New York: Alfred A. Knopf, 1970

Elizabeth Isichei, A History Of African Societies To 1870, New York: Cambridge
University Press., 1997

Ogot, B. A., (Eds.), General History of Africa, Vol. V: Africa From The Sixteenth To
Eighteen Century, London: James Curry, 1997

Maruwiah Ahmat, Penjajahan Portugis Dan Sepanyol Ke Atas Asia Tenggara, Shah
Alam: Karisma Publications, 2006

Sivachandralingan Sundra Raja, Sejarah Eropah, Terbitan Utusan Publication &
Distributor sdn bhd, 2002

Blog ini tidak mengkhusus dalam bidang tertentu. Penulis bebas menulis apa sahaja dalam blog ini (Blog Rojak). Terima Kasih kerana sudi meluangkan masa.

 

Blogger Template | Created by Adam Every