Oleh: saya sendiri

Persoalan ::: Apakah yang dimaksudkan dengan Perlembagaan? Dengan menumpukan kepada tahun-tahun antara 1787 hingga 1877, bincangkan bagaimana Perlembagaan A.S (termasuk Pindaan2 Perlembagaan) menangani isu-isu kebebasan, kepelbagaian dan migrasi. Adakah Perlembagaan tersebut dapat memenuhi kesemua kehendak rakyat A.S?

Pengenalan
Perlembagaan bermaksud undang-undang tertinggi sesebuah negara. Perlembagaan berasal daripada perkataan Latin iaitu ‘constitutio’ yang bermaksud undang-undang penting yang biasanya dikeluarkan oleh maharaja. Apabila dikatakan perlembagaan maka ia adalah undang-undang yang bertulis.
Amerika Syarikat telah mendapat kemerdekaan pada 4 Julai 1776 daripada Britian. Oleh sebab Amerika Syarikat telah mendapatkan kemerdekaan maka perlu ada sebuah undang-undang bagi mengatasi masalah yang banyak berlaku pada masa itu di samping untuk menyatukan 13 buah negeri yang tidak bersatu.
Oleh itu, Artikel Persekutuan ( Articles of Confederation ) telah dibentuk sebagai percubaan untuk memenuhi keperluan rakyat Amerika Syarikat. Namun, banyak masalah telah timbul dan masalah tersebut sukar diatasi. Salah satu masalah yang sangat serius ialah masalah ekonomi. Masalah ekonomi ini benar-benar memberi kesan terhadap sektor pertanian dan ia juga memberi kesan kepada golongan petani. Petani-petani tidak puas hati apabila tanah-tanah mereka dirampas dan dilelong oleh pemiutang dengan harga yang murah. Sebagai tindak balas, petani-petani ini telah melakukan pemerontakan untuk memperjuangkan hak mereka. Pemimpin pemberontakan ini ialah Daniel Shay dari Massachusetts. Pemberontakan Shay yang berlaku pada 25 Januari 1787 telah menyedarkan kongres bahawa pentingnya menangani masalah kewangan dan masalah-masalah yang lain. Seterusnya ia mempamerkan kelemahan Artikel Persekutuan sebagai sebuah undang-undang pada masa itu.
Masalah yang serius ini menyebabkan perlunya diwujudkan satu bentuk kerajaan baharu yang lebih baik. Akhirnya, setelah perbincangan dibuat oleh pemimpin beberapa buah negeri, mereka berjaya memujuk kongres untuk meminda Artikel Persekutuan. Seterusnya satu persidangan telah diwujudkan khas untuk meminda Artikel Persekutuan yang dihadiri oleh semua wakil setiap negeri.
Bermula pada 30 Mei hingga 17 September 1787, berlakulah persidangan yang dikenali Konvensyen Philadelphia di Pennsylvania yang menyaksikan perdebatan politik yang hebat. Agenda khas iaitu untuk meminda Artikel Persekutuan ini telah membawa kepada pembentukan Perlembagaan Amerika Syarikat. Ini kerana dalam Artikel Persekutuan terlalu banyak yang perlu dipinda menyebabkan ia tidak digunakan lagi.
Perlembagaan Amerika Syarikat sempurna pada 17 September 1787 hasil daripada tiga kompromi iaitu kompromi besar, kompromi tiga per lima dan kompromi perdagangan di kalangan 13 buah negeri. Proses penggubalan perlembagaan ini sangat sukar seperti kata James Madison “setiap perkataan membezakan antara kuasa dengan kebebasan”.
Untuk mendapatkan pengesahan daripada semua negeri pula masalah turut dihadapi apabila wujudnya golongan yang menentang perlembagaan ini. Golongan yang menentang ini dikenali Antifederalis yang terdiri daripada golongan petani, penyokong Pemberontakan Shay dan mereka yang mengutamakan kebebasan dan bukannya kekuasan. Manakala golongan yang menyokong dikenali sebagai federlis yang sedar akan kepentingan perlembagaan ini.
Pada akhir bulan Jun 1788, perlembagaan ini telah mendapat pengesahan daripada sembilan buah negeri iaitu Delaware, Pennsylvania, New Jersey, Connecticut, Massachusetts, Maryland, Carolina Selatan, New Hampshire dan Virginia. New York belum mengesahkan kerana pihak antifederalis mempunyai pengaruh yang kuat. Oleh kerana New York merupakan negeri yang penting maka perlu langkah dijalankan untuk mendapat sokongan. Alexander Hamilton, John Jay dan James Madison berusaha mempengaruhi masyarakat di New York melalui penulisan, kempen, ucapan dan sebagainya. Hasil usaha ini, maka New York akhirnya telah menerima dan mengesahkan perlembagaan ini.
Begitulah kronologi pembentukan Perlembagaan Amerika Syarikat yang melalui perjalanan yang berliku-liku.


Bagaimana perlembagaan Amerika Syarikat menangani isu-isu kebebasan, kepelbagaian dan migrasi?
Apabila Perlembagaan Amerika Syarikat selesai sepenuhnya maka ia mula digunakan oleh Kerajaan Amerika Syarikat. Namun, perlembagaan yang baru dibentuk ini tidak memasukkan hak-hak asasi yang penting. Atas kesederan bahawa hak-hak ini adalah penting maka Kongres telah membuat pindaan. Sepuluh pindaan pertama dikenali sebagai Akta Hak ( Bill of Rights ). Selain itu, pindaan ini dilakukan atas kesedaran bahawa masa akan berubah dan amat penting perlembagaan itu sentiasa mengikut peredaran masa. Pindaan-pindaan ini dipersetujui dilakukan menurut fasal kelima perlembagaan asal.

Menangani Isu Kebebasan
Isu kebebasan merujuk kepada kebebasan beragama, kebebasan berucap, kebebasan akhbar, hak rakyat untuk berhimpun secara aman, perbicaraan menggunakan juri, menghantar petisyen kepada kerajaan dan sebagainya. Sememangnya rakyat Amerika Syarikat mementingan kebebasan.
Dalam kebebasan beragama misalnya ia sudah pun berlaku sejak awal lagi. Amerika Syarikat merupakan tempat bagi pelarian agama kristian daripada eropah. Agama Kristian mempunyai mahzab yang banyak dan pelbagai mahzab telah wujud di Amerika Syarikat yang menyebabkan rakyat merasakan terpulang kepada sesiapa untuk menganut apa agama yang disukai. Oleh sebab itu Amerika Syarikat pada masa kini tidak mempunyai agama rasmi.
Dalam kebebasan akhbar pula, kewujudan golongan iaitu golongan antifederalis yang banyak menentang golongan federalis memerlukan saluran untuk meluaskan pengaruh. Sebelum ini, pihak yang menyokong perlembagaan iaitu golongan federalis telah menggunakan saluran akhbar untuk mendapatkan sokongan. Oleh yang demikian, atas kesederan bahawa akhbar sepatutnya bebas daripada kawalan amat penting diambilkira untuk perkara-perkara yang berlaku pada masa akan datang. Contohnya, Amerika Syarikat akan melangsungkan Pilihan Raya. Pihak pembangkang haruslah mendapat kebebasan akhbar untuk menyebarkan pengaruh. Begitu jugalah dalam hal-hal kebebasan yang lain.
Daripada keadaan ini, pihak antifederalis telah menimbulkan usul ini. Ia juga sebagai jaminan supaya kebebasan ini akan membolehkan tindakan undang-undang tidak akan dikenakan. Hasilnya, jaminan ini telah dimasukkan ke dalam sepuluha pindaan pertama yang dikenali sebagai Akta Hak. Manakala masalah mengenai kebebasan itu dapat ditangani melalui Pindaan pertama yang menyatakan:
“ Kongres tidak akan menggubal undang-undang berkenaan dengan pengwujudan agama, atau melarang amalan bebasnya; atau menghalang kebebasan bersuara, atau kebebasan menerbitkan; atau hak rakyat untuk berhimpun secara aman, dan untuk menghantar petisyen kepada kerajaan bagi menangani aduan-adaun”
Dengan adanya pindaan ini maka rakyat Amerika Syarikat menjadi bebas iaitu selagi tidak bertentangan dengan perlembagaan. Lebih daripada itu, ia telah meletakkan Amerika Syariakt sebagai sebuah kerajaan yang bebas dan demokratik.


Menangani Isu Kepelbagaian
Isu kepelbagaian (diversity) merujuk kepada kepelbagaian etnik, budaya, adat, usia, gender, kaya, miskin dan yang paling penting ialah masalah perhambahan yang wujud di Amerika Syarikat. Sememangnya bumi Amerika Syarikat dihuni oleh pelbagai bangsa-bangsa dari Eropah termasuk kaum pribumi yang pelbagai. Seperti yang kita sedia maklum, bangsa-bangsa dari Eropah seperti Inggeris, Perancis, Sepanyol, dan lain-lain adalah penduduk yang meneroka bumi Amerika Syarikat. Pada abad berikutnya, semakin ramai bangsa Eropah datang ke Amerika Syarikat. Kaum pribumi sebagai kaum asal bumi Amerika Syarikat semakin dipinggirkan.
Akibat daripada wujudnya kepelbagaian ini, maka masalah telah timbul. Masalah yang jelas kelihatan ialah masalah diskriminasi yang berlaku ke atas orang kulit hitam dan kaum pribumi. Orang kulit hitam manjadi mangsa kepada orang kulit putih.
Manakala kaum pribumi Amerika Syarikat disingkirkan. Semasa perang kemerdekaan, kaum pribumi menyokong Britian untuk mengekalkan hak dan pegangan milik mereka. Namun kemenangan Amerika Syarikat ini telah menyebabkan kaum pribumi terpaksa melepaskan hak mereka. Kongres meluluskan Akta Pemindahan Pribumi pada tahun 1830. Melalui akta ini kaum pribumi telah berpindah ke barat. Disinilah kita dapat melihat perjalanan suku Cherokee daripada Georgia ke Oklahama. Perjalanan yang begitu menyeksakan di sepanjang, dan perjalanan itu dipanggil Trail of Tears.
Keadaan ini menunjukkan ketidakadilan berlaku. Masyarakat yang hidup dalam satu negara tidak mendapat hak yang sama. Untuk mengelakkan perkara yang buruk berlaku maka kerajaan telah mengambil langkah untuk menangani masalah yang melibatkan kepelbagaian ini. Maka dengan itu, kongres telah membuat pindaan perlembagaan. Ia adalah Pindaan Ke-14 yang dapat ditafsir, semua masyarakat akan mendapat hak yang sama rata.
Masalah perhambaan merupakan masalah yang paling mencabar kerajaan Amerika Syarikat. Sememangnya banyak pihak sangat-sangat mengharapkan masalah perhambaan ini dapat diselesaikan. Tetapi isu ini sentiasa dibangkitkan.
Perhambaan sebenarnya memberi pro dan kontra kepada wilayah-wilayah di Amerika Syarikat. Sebab itulah, ketika di kawasan utara mahukan perhambaan ini dihapuskan kerana hamba tidak diperlukan lagi, di kawasan selatan pula mahukan perhambahan ini dikekalkan kerana hamba penting untuk memajukan pertanian.
Masalah perhambaan ini juga boleh mengancam kepada pembentukan kesatuan. Ini kerana pada waktu ini, kerajaan sedang untuk menyatukan setiap kawasan. Namun, masalah perhambaan ini telah menghalang usaha ini. Sebagai langkah awal, Gerakan Antiperhambaan telah diwujudkan untuk menangani masalah ini. Selain itu, usaha menangani juga dilakukan melalui penulisan yang mengutuk perhambaan dan menggambarkan realiti perhambaan yang selalu ditindas dengan kekejaman. Contohnya, tulisan Harriet Beecher Stowe yang bertajuk Uncle Tom’s Cabin pada 1852 dan mendapat sambutan ramai.
Namun begitu, perhambaan merupakan satu masalah yang sukar diatasi. Malah Perang Saudara telah meletus pada 1861-1865 disebabkan oleh wilayah yang mahukan perhambaan dilenyapkan menentang kawasan yang mahukan perhambaan dikekelkan. Kerajaan Amerika Syarikat mungkin lupa bahawa untuk menyelasaikan sesuatu masalah, perlembagaan haruslah dilihat. Selepas berakhirnya Perang Saudara, Amerika Syarikat telah mula sedar dan melalui era Pembentukan Semula. Akhirnya, pada 18 Disember 1865, Pindaan Perlembagaan Ke-13 telah diluluskan. Pindaan ini menjamin kebebasan hamba abdi dan yang baiknya negeri-negeri selatan telah menerimanya.


Menangani isu migrasi
Isu migrasi merujuk kepada penghijrahan atau perpindahan penduduk dari luar ke negara Amerika Syarikat. Sememangnya sejak awal lagi, bumi Amerika Syarikat telah menjadi tumpuan imigran asing. Ini kerana kejayaan bangsa eropah yang awal iaitu Inggeris, Sepanyol, Perancis dan lain-lain mendapat tempat tinggal yang baik di bumi Amerika Syarikat menyebabkan bangsa-bangsa lain turut tertarik datang ke bumi Amerika Syarikat. Ini ditambahkan lagi dengan Amerika Syarikat mempunyai sumber ekonomi yang banyak dan amalan keagamaannya yang bebas begitu menarik perhatian imigran.
Menjelang abad ke-19 pula, Amerika telah mengalami perkembangan ekonomi yang pesat. Kemajuan sains dan teknologi menyebabkan banyak ciptaan telah dicipta. Antaranya ialah enjin wap, kereta api dan sebagainya. Selain itu, industri turut berkembang dengan pesatnya. Oleh itu, faktor ini turut menjadi pendorong kepada kedatangan imigran.
Imigran yang datang kebanyakannya daripada bangsa eropah itu sendiri. Antaranya, Jerman, Ireland dan Eropah Tengah telah mewujudkan lagi kepelbagaian di Amerika Syarikat. Migrasi yang berleluasa ini menyebabkan timbul masalah sentiment seperti anti-Yahudi, anti-katolik dan antiimigran. Selepas itu, muncul gerakan “Know-Nothing Movement” yang dipelopori oleh orang kulit putih. Kemasukan ramai imigran ini didakwa akan memusnahkan segala yang telah dibentuk oleh Amerika Syarikat Sebelum ini. Tindakan diskriminasi juga telah berlaku ke atas imigran. Namun, mengingatkan kembali peristiwa yang berlaku ke atas hamba abdi, mereka sedar bahawa tindakan ke atas imigran ini akan mengundang masalah.
Oleh yang demikian, cara untuk menangani masalah ini, Kongres telah meluluskan Pindaan Perlembagaan ke-14 dan ke-15. Kedua-dua Pindaan ini menyatakan bahawa semua yang berada di Amerika Syarikat pada ketika itu akan menjadi warganegara Amerika Syarikat dan layak mengundi. Oleh itu, dengan wujudnya persamaan ini membolehkan masalah sebelumnya diselesaikan.

Adakah Perlembagaan ini berjaya memenuhi kesemua kehendak rakyat Amerika Syarikat?
Perlembagaan Amerika Syarikat termasuk Pindaan-pindaan sememangnya bertujuan untuk menangani banyak isu. Ia adalah kata pemutus kepada segala permasalahan yang berlaku dan segala yang bertentangan dengan perlembagaan akan dikenakan undang-undang.
Merujuk kepada banyak permasalahan yang timbul, perlembagaan Amerika Syarikat berjaya menyelesaikan banyak masalah sama ada perlembagaan asal mahupun perlembagaan yang dipinda. Dapat juga dilihat, perlembagaan Amerika Syarikat ini akhirnya diterima oleh semua negeri di Amerika Syarikat pada masa itu yang menunjukkan perlembagaan ini mampu menyelesaikan masalah.
Namun begitu, terdapat juga masalah yang tidak dapat memuaskan hati rakyat Amerika Syarikat. Contoh jelas yang kita boleh lihat disini ialah masalah perhambaan. Sememangnya masalah perhambaan dikatakan sudah selesai setelah Pindaan Perlembagaan ke-13 dibuat. Hamba dilarang sama sekali diamalkan dan seharusnya hamba mestilah hidup bebas. Tetapi, penyelesaian ini hanyalah di atas kertas sahaja, realitinya masalah ini sukar diselesaikan. Nama ‘hamba’ berjaya dimansuhkan namun apa yang masih mengekalkan keadaan mereka ialah kesemua mereka berkulit hitam. Orang kulit hitam ini masih lagi tidak mahu berpisah dalam komuniti mereka yang menyebabkan sebarang perlakuan yang tidak adil ke atas mereka akan dibalas. Sebab itulah kita melihat sentiasa adanya pergaduhan kaum diantara kulit putih dan kulit hitam. Ini menunjukkan perlembagaan ini masih tidak memuaskan hati sesetengan rakyat Amerika Syarikat.
Berlainan pula apa yang berlaku ke atas kaum pribumi Amerika Syarikat. Sememangnya dalam Pindaan Perlembagaan ke-14 menyatakan semua warganegara Amerika Syarikat mendapat hak yang sama. Bermakna kaum pribumi turut mendapat hak mereka. Ini menunjukkan kerajaan Amerika Syarikat telah membuka ruang kepada mereka untuk terlibat sama dalam bersama-sama terlibat dalam ekonomi, sosial dan politik negara. Namun, sikap kaum pribumi itu sendiri yang tidak mahu terlibat meminggirkan mereka. Jadi disini, wujud juga pihak yang seakan-akan tidak kisah akan perlembagaan ini.

Kesimpulan
Oleh yang demikian, Perlembagaan Amerika Syarikat (termasuk pindaan-pindaan) merupakan suatu yang berfungsi besar dalam menjaga kemakmuran Amerika Syarikat. Di awal pembentukan perlembagaan Amerika Syarikat ini, ia terpaksa melalui pelbagai halangan-halangan yang benar-benar manguji kerajaan Amerika Syarikat. Halangan-halangan ini yang berperanan sebarang kelemahan akan dikemaskini. Sebab itulah Perlembagaan Amerika Syarikat menjadi model kepada perlembagaan negara-negara lain. Apa yang menarik dalam perlembagaan Amerika Syarikat ini, ia telah menunjukkan kepada dunia bahawa rakyatnya yang bersatu dengan slogan ‘We are American’. Ia juga pemangkin kepada kegemilangan negara itu yang pada era ini dikenali kita kenali sebagai ‘ America Century ‘. Amerika Syarikat telah menjadi peneraju dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi, ekonomi, social, politik, pendidikan, ketenteraan dan sebagainya. Keseluruhannya, itulah hakikat yang berlaku.
Artikel-artikel Perlembagaan Amerika Syarikat boleh dilihat dalam banyak buku dan laman web. Lawatilah: http:// www.historyplace.com/unitedstates/revolution/us-constitution.htm. Artikel asal boleh dilihat dan dibaca dalam web ini.







Bibliografi
Drewry O’Connor Freidel., America Is, Oiho, Charles E. Merrill Publishing Co. 1984

Herman L. Crow dan William L. Turnbull, American History: A Problems Approach,
Vol. 1, New York, Holt, Rhinehart & Winston, Inc

http// ngeorgia.com/history/nghisttt.html

http:// www.historyplace.com/unitedstates/revolution/us-constitution.htm

http:// www.sjchs-history.org/shay.html

Samuel Steinberg ., The United States: Story of a Free People, New York, Allyn And
Bacon, Inc., 1964

Shakila Yacob, Amerika Syarikat: Pembentukan Negara Bangsa, Kuala Lumpur, Dewan
Bahasa dan Pustaka, 2005

1 Comment:

  1. My-RiE said...
    mo pengsan org baca sejarah ni..asgmt ka ni?????? hehe

Post a Comment



Blog ini tidak mengkhusus dalam bidang tertentu. Penulis bebas menulis apa sahaja dalam blog ini (Blog Rojak). Terima Kasih kerana sudi meluangkan masa.

 

Blogger Template | Created by Adam Every