Oleh: Az UM

Pendahuluan
Penjelajahan bukan sesuatu perkara yang baru dalam sejarah peradaban manusia. Ini kerana penjajahan sudah pun berlaku semasa zaman kerajaan atau dinasti awal. Orang Mesir merupakan antara bangsa yang terawal dalam melakukan pelayaran jarak jauh. Sekitar kira-kira 2600 SM, Firaun Shefru telah membuat pelayaran menyusuri pantai Mediterranean sehingga ke bandar Byblos. Ekspedisi sebanyak 40 buah kapal itu membawa pulang kayu balak yang banyak. Begitu juga dengan bangsa Phoenicia yang terkenal dengan kemahiran dalam penjelajahan dan pelayaran. Sekitar 700 SM, mereka telah berjaya belayar menyeberangi laut Mediterranean. Jajahannya yang paling penting ialah Carthage iaitu sebagai pusat empayar untuk barat Sicily, pantai Sepanyol dan Afrika Utara. Selain daripada itu, terdapat juga bangsa lain yang tidak kurang hebatnya dalam penjelajahan seperti bangsa Greek, Cina, India dan lain-lain lagi. Semasa zaman kebangkitan empayar Islam pula, penjelajahan sangat giat dilakukan. Sehingga munculnya ramai tokoh-tokoh pelayaran yang terkenal seperti al-Idrisi, Ibn Battutah, Sulayman al-Mahri dan ramai lagi. Kebanyakan penjelajahan ini pula berjaya sampai ke benua Afrika. Oleh yang demikian, kita dapat lihat bahawa benua Afrika merupakan telah lama berinteraksi dengan dunia luar.

Keagungan kerajaan Islam ini tidak dapat dipertikan lagi. Ini kerana empayarnya bukan sahaja meliputi sebahagian Asia dan sebahagian Afrika malah meliputi sebahagian Eropah. Kehadiran Islam di Eropah pada 711 Masihi inilah yang memberi sinar pembaharuan kepada bangsa Eropah yang pada masa itu yang berada pada zaman kegelapan. Kepakaran orang Islam dalam pelbagai bidang seperti Astronomi, geografi, sains dan matematik, ilmu pelayaran dan sebagainya memberi manfaat kepada bangsa Eropah itu sendiri. Dengan itu, semua ini dipelajari oleh bangsa Eropah dan telah mengaplikasinya dengan baik. Kesannya, perubahan ini menyebabkan bangsa Eropah mula sedar yang mereka sedang dijajah oleh kerajaan Islam pada masa itu dan mula untuk membebaskan dari penjajahan itu. Ketika itulah, zaman Renaisans telah muncul yang kita ketahui banyak merubah pemikiran bangsa Eropah.

Berdasarkan perkembangan ini, maka bermulanya penjelajahan dan pelayaran bangsa Eropah ke seberang laut. Namun perlu diingat bahawa sebelum itu penjelajahan bangsa Eropah sudah pernah dilakukan seperti yang dilakukan oleh Givovanni de Plano Carpini, Willem van Rujsborek dan Marco Polo pernah sampai ke Asia sejak abad ke- 13 lagi. Penjelajahan secara besar-besaran pula pelopori oleh bangsa Portugis dan Sepanyol iaitu berdasarkan Perjanjian Tordesillas yang ditandatangani pada 9 Jun 1494. Perjanjian ini telah membahagikan dunia kepada dua “ wilayah pengaruh” (sphere of influence atau sphere interest). Menurut perjanjian ini Sepanyol akan berhak ke atas semua kawasan di Barat manakala Portugal berhak semua kawasan di sebelah Timur. Kedua-dua negara ini mempeloporinya kerana mereka ada bangsa yang paling terdedah kepada ilmu-ilmu pelayaran Islam. Ia juga disebabkan oleh keadaan bangsa-bangsa lain di Eropah seperti Britian, Perancis, Jerman dan lain-lain masih belum mempunyai politik yang stabil. Penjelajahan yang dilakukan ini akhirnya bertukar kepada penjajahan dan penaklukan ke atas negara yang dijelajah. Afrika merupakan benua terawal yang ditemui oleh para penjelajah Portugis. Oleh itu, penemuan Afrika merupakan sesuatu yang menguntungkan kepada bangsa Eropah yang mana akhirnya menjadi rebutan kepada kepada kuasa-kuasa di Eropah pada abad seterusnya.


Faktor Yang Mendorong Persaingan Kuasa Barat di Afrika
Secara umumnya, terdapat dua faktor yang mendorong kuasa barat untuk menguasai wilayah-wilayah di Afrika. Ini kita kenali sebagai faktor penolak dan faktor penarik. Mengapa saya mengatakan faktor penolak dan faktor penarik, ini kerana sememangnya ia adalah berkaitan antara satu sama lain. Faktor penolak merujuk kepada keadaan di Eropah itu sendiri yang menyebabkan bangsa Eropah itu ingin keluar ke seberang laut. Manakala faktor penarik pula merujuk kepada perkara yang menarik minat kuasa Eropah untuk menguasai wilayah-wilayah di Afrika itu sendiri.

Faktor Penolak
Kesan Daripada Zaman Renaisans

Eropah yang sebelum ini berada dalam zaman kegelapan mula muncul semula apabila perubahan zaman berlaku. Zaman baru itu kita kenali sebagai zaman Renaisans yang bermaksud “Kelahiran Semula”. Zaman ini berlangsung dari abad ke-14 hingga abad ke-16 yang membolehkan Eropah mencapai kegemilangan dari segi politik, sosial dan ekonomi. Ciri-ciri Renaisans seperti sifat Humanisme, Individualisme, Sekularisme dan Kritikal memberi kesan kepada kemunculan negara bangsa di Eropah. Bangsa Eropah mula melihat diri mereka sebagai bangsa Portugis, Sepanyol, Inggeris, Perancis dan sebagainya. Semangat nasionalisme mula berkobar-kobar dalam diri bangsa Eropah. Renaisans juga membangkitkan sifat kapitalisme yang cukup besar. Ini menggalakkan bangsa eropah berebut-rebut untuk menggumpul kekayaan. Malah dengan kemajuan sains dan teknologi pula membolehkan bangsa eropah mampu untuk melakukan pelayaran ke seberang laut. Berdasarkan kesan diatas maka ia adalah faktor yang membawa kepada bermulanya kebangkitan bangsa Eropah yang sebelum ini berada dalam zaman kegelapan. Apa yang penting zaman Renaissans ini berjaya mengubah cara berfikir bangsa Eropah. Melalui faktor ini juga ia membawa kepada sebab-sebab lain untuk ke seberang laut.


Galakan Putera Henry
Putera Henry merupakan orang yang seringkali disebut-sebut oleh para Sejarawan dalam membincangkan proses penjelajahan ke seberang laut. Putera Henry (1394-1460M) merupakan putera ketiga Raja John I iaitu Raja Portugal yang sangat berminat dalam bidang geografi dan pelayaran serta ilmu kartografi. Usaha beliau untuk menjadi “Ahli Pelayaran” akhirnya berjaya dan ini memberi semangat untuk beliau mengembangkan lagi ilmu itu. Oleh yang demikian, Henry telah menubuhkan sekolah pelayaran yang bertujuan untuk menggalakan pelayaran ke seberang laut. Henry juga membiayai segala perbelanjaan yang tinggi. Menurut Preston E. James dan Geoffrey J. Martin, Putera Henry meminta bantuan para sarjana-sarjana dari semua agama yang mahir dalam bidang pelayaran, geografi, kartografi, matematik, astronomi dan pakar-pakar yang boleh membaca manuskrip dalam pelbagai bahasa dari sekitar Mediterranean ke Sagres. Ia bertujuan untuk menjadikan sekolah pelayaran tersebut akan melahirkan seorang pelayar yang baik, mahir dalam membaiki kapal, mengetahui keadaan cuaca dan sebagainya.
Oleh kerana Portugal pernah bernaung dibawah kerajaan Islam pada masa dahulu maka dengan itu Putera Henry telah menakluki Ceuta yang terletak di Afrika Utara. Terdapat juga catatan lain yang mengatakan bahawa Henry pernah menemani ayahnya menjelajah Ceuta dan ayahnya telah mengajar Henry mengenai Afrika. Ekspidisi terawal yang dibiyai oleh Henry telah berjaya menemui bahagian barat Afrika seperti Maldeira, Pulau Azores dan Tanjung Verde (Cape Verde). Jadi disini, Putera Henry sememangnya berperanan besar dalam memulakan penjelajahan ke seberang laut dan Afrika khususnya. Ini membawa kepada kemunculan Bartholomew Diaz yang berjaya belayar sehingga ke Tanjung Pengharapan pada tahun 1486. Manakala kejayaan diteruskan lagi oleh Vasco da Gama yang berjaya belayar sampai ke India pada tahun 1498. Malah, kejayaan diteruskan lagi oleh Diego Lopez de Sequira apabila tiba di Melaka pada 1509. Menurut Catholic Encyclopedia, Putera Henry ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Afrika, membuka hubungan dagangan dan ingin mencari kerajaan Kristian pimpinan Prester John di Afrika. Menurut Barbara W. Andaya dan Leornard Y. Andaya menyatakan bahawa Henry menggalakkan banyak pelayaran untuk menjadi motivasi kepada pelayaran-pelayaran seterusnya. Ringkasnya disini, Putera Henry amat berperanan besar dalam melakukan pelayaran ke Afrika. Pada abad berikutnya pula, kebanyakan kuasa Eropah mula bangkit untuk berlumba-lumba untuk datang ke Afrika.

Kejatuhan Konstantinopole Kepada Kerajaan Islam

Semenjak zaman kerajaan Rom lagi, aktiviti perniagaan di Eropah dikuasai oleh peniaga-peniaga Itali. Ini kerana pelabuhan Venice menjadi pelabuhan yang sangat penting di Mediterranean yang membekalkan bahan-bahan dagangan yang sangat diperlukan oleh Eropah iaitu barangan dari China, Jepun dan rempah-ratus dari Kepulauan Melayu. Manakala emas, gading, hamba, lada hitam yang banyak diperolehi dari Afrika dijual oleh pedagang Islam. Empayar Turki Uthmaniyah pula yang semakin kuat dan telah melakukan serangan ke atas Konstantinople. Akhirnya pada tahun 1453 M, Konstantinople telah berjaya ditawan oleh kerajaan Islam. Perubahan berlaku apabila ia telah menggangu perdagangan antara Asia dan Afrika dan secara langsung memberi kesan buruk kepada pembeli-pembeli di Eropah. Konstantinople yang kini menjadi tapak bagi orang Islam telah membolehkan orang Islam mengawal perdagangan apabila menjadi orang tengah kepada perdagangan Eropah dengan Asia dan Afrika. Disini, orang Islam bebas menjual barang dagangan dengan mahal kepada pembeli-pembeli di pelabuhan Venice. Sebaliknya pula berlaku, ia telah menjadikan pelabuhan Venice begitu popular di Eropah. Ia adalah sesuatu yang tidak baik bagi kuasa Portugis dan ingin menyekat monopoli Venice. Untuk itu, mereka mencari alternatif lain untuk mendapatkan barangan penting itu. Oleh itu, Portugis mula membuat pelayaran ke seberang laut untuk mencari barangan tersebut sehingga menemui Afrika. Kejayaan Portugis mendapatkan barangan yang mereka perlukan pula telah menyebabkan pelabuhan Venice telah merosot.

Hasrat God, Gold dan Glory
Hasrat God, Gold dan Glory merupakan tiga elemant yang turut mendorong kuasa barat datang ke seberang laut. Malah sesetengah sejarawan menanggap ia adalah faktor paling penting dalam proses penjelajahan itu. Dalam konteks ini, God merujuk kepada aspek keagamaan. Agama Kristian merupakan agama yang menjadi anutan masyarakat Eropah. Faktor agama ini mempunyai bukti yang jelas dalam melakukan penjelejahan ini kerana dipengaruhi peristiwa di Eropah pada masa itu. Jika kita lihat, era kebangkitan Islam pada abad ke-7 masihi telah memberi kekuatan kepada Islam itu sendiri sehingga berjaya sampai ke seluruh Arab, sebahagian Afrika dan Eropah malah di Asia Tenggara. Oleh kerana raja-raja di Eropah begitu membenci agama Islam maka berlakulah peperangan antara kedua-dua kerajaan ini. Inilah yang kita kenali sebagai Perang Salib (1096-1291M) yang berlaku beratus tahun yang sukar untuk dihentikan. Sekali lagi, peperangan tercetus apabila kerajaan Islam telah berjaya menawan Konstantinopole pada 1453 Masihi. Dendam membara orang kristian begitu kuat kerana Konstantinopole merupakan pusat kerajaan Kristian yang agung sejak zaman Rom lagi. Melihat kepada segala peristiwa ini maka dapatlah dirumuskan bahawa faktor agama adalah faktor yang amat penting dalam melakukan penjelajahan ini. Salah satu buktinya ialah pelayaran bangsa Eropah itu didorong oleh semangat mencari kerajaan Kristian yang dipimpin oleh Prester John di Afrika. Kuasa Portugis seterusnya datang ke Asia Tenggara pula bertujuan untuk mengkristiankan masyarakat di situ kerana telah lama dikuasai Islam.
Hasrat Gold pula merujuk kepada faktor ekonomi. Eropah pada masa itu juga dilanda musim sejuk. Maka dengan itu, masyarakatnya amat memerlukan rempah-ratus untuk membolehkan makanan itu menjadi tahan lama dan menyedapkan makanan. Penjelajahan ini telah memaksa mereka mencari bahan makanan ini untuk keperluan. Tambahan pula, penawanan Konstantinopole telah menyebabkan harga barangan ini telah menjadi mahal kerana peniaga Islam sebagai pembekal sumber utama telah menjual barangan itu dengan harga yang mahal. Seterusnya, perasaan timbul untuk melakukan penjelajahan iaitu untuk mendapatkan sendiri barangan yang diperlukan. Penjelajahan yang dilakukan itu pula telah menemui Afrika yang dilihat begitu banyak sumber ekonomi. Selepas itu, Afrika telah menjadi rebutan kuasa-kuasa Eropah.
Hasrat Glory pula merujuk kepada kemegahan. Bangsa Eropah pada masa itu telah dipengaruhi oleh kesan zaman renaisans yang telah mewujudkan negara bangsa. Negara-negara di Eropah itu masing-masing dengan sikap individualistic, kapitalisma, semangat inkuiri dan sebagainya. Ini menyebabkan mereka berlumba-lumba untuk mencipta kemegahan dengan pergi melakukan penjelajahan. Kemegahan awal dilakar oleh bangsa Portugis dan Sepanyol kerana paling awal melakukan penjelajahan ke seberang laut. Kemegahan Portugis dapat dilihat apabila mereka telah menemui Afrika dan Kepulauan Melayu. Penemuan Afrika merupakan sesuatu yang penting dalam sejarah kerana ia telah mengubah anggapan masyarkat di Eropah yang sekian lama berfikir bahawa bumi ini berbentuk segiempat. Seterusnya ia telah menjadi panduan kepada bangsa-bangsa Eropah yang lain untuk melakukan penjelajahan. Sekali lagi, penjelajahan awal telah berubah kepada proses penjajahan ke atas negara-negara yang telah ditemui.

Revolusi Perindustrian
Revolusi Perindustrian berlaku di seluruh Eropah pada abad ke-18 merupakan factor kemuncak kepada penjelajahan kuasa barat ke seberang laut. Kebanyakan sejarawan bersetuju bahawa zaman ini amat memaksa bangsa Eropah melakukan penjelajahan seterusnya penjajahan untuk menghidupkan mesin industri yang telah berkembang maju pada masa itu. Terdapat dua aspek penting yang mereka lakukan iaitu mencari bahan mentah dan mencari pasaran bagi barangan keluaran akibat lebihan dalam pengeluaran barangan. Kedua-dua ini dibantu dengan kemajuan dalam perkembangan sains dan teknologi. Keperluan terhadap bahan mentah ini dapat dilihat dengan keperluan bahan seperti bijih timah dan petroleum. Afrika merupakan antara negara yang memiliki sumber itu selain Asia Tenggara. Kedudukan yang hampir dengan Eropah menyebabkan setiap negara di Afrika telah dikuasai oleh kuasa Eropah. Ini berdasarkan keperluan terhadap bahan mentahnya.
Selain itu, revolusi perindustrian ini juga menyebabkan barangan dapat dikeluarkan dengan banyaknya. Maka keluaran barangan kilang, telah menyebabkan lebihan berlaku. Untuk itu, mereka terpaksa mencari pasaran untuk membolehkan barangan itu dapat dijual dan digunakan oleh masyarakat. Oleh kerana Afrika telah dijajah oleh banyak negara Eropah maka barangan itu telah dipasarkan ke Afrika untuk digunakan bukan sahaja bangsa Eropah yang telah mendirikan kerajaan disitu malah untuk kegunaan masyarakat pribumi Afrika itu sendiri.
Kerancakan zaman revolusi perindustrian ini disebabkan oleh penciptaan pelbagai teknologi yang amat penting pada masa itu. Contohnya, kapal wap dapat belayar dengan lebih laju dan mengangkut bahan mentah dengan lebih banyak. Pengunaan kapal ini banyak mambantu dalam proses revolusi kerana ia menjadi agen perhubungan yang sangat penting. Selain itu, penciptaan alat persenjataan pula menyebabkan proses penjajahan lebih giat dijalankan. Untuk mencipta alat-alat senjata ini bahan mentah seperti besi dan bijih timah amat diperlukan. Salah satu lagi industri yang penting ialah industri mengetin makanan. Dengan adanya industri ini maka makanan dapat disimpan dengan lebih lama dan amat penting digunakan dalam pelayaran.
Zaman revolusi perindustrain di Eropah begitu memberi kesan kepada perhubungan sejarah dunia. Penjajahan kuasa Eropah di Afrika menyebabkan mereka terpaksa membentuk unit politik untuk mentadbir negara terbabit untuk melancarkan proses memonopoli sumber ekonomi di kawasan tersebut. Ini kerana seringkali keadaan anarki dan perasaan tidak puas hati di kalangan penduduk tempatan terhadap dasar penjajahan ini. Selain itu, kesan positif juga dilihat apabila perkembangan fizikal negara yang dijajah itu sendiri seperti terbinanya jaringan pengangkutan dan sebagainya.

Faktor Penarik
Kekayaan Hasil Bumi Afrika

Penjelajahan juga disebabkan oleh tarikan ke atas Afrika itu sendiri. Afrika merupakan sebuah benua yang kaya dengan hasil bumi. Ini termasuklah emas dan rempah ratus yang menjadi idaman di Eropah pada masa itu. Sebelum penjelajahan secara besar-besaran, Afrika sudah terkenal dengan kekayaan ekonominya. Ini dapat dilihat semasa zaman Rome lagi dan pelabuhan Venice merupakan pelabuhan utamanya. Bangsa Eropah begitu tertarik untuk datang ke Afrika juga kerana banyak mendengar cerita mengenai kekayaan emas di Afrika. Misalnya, pedagang-pedagang Eropah yang mengembara dengan merentasi gurun Sahara di selatan menceritakan tentang pantai emas (gold coast) yang mempunyai sumber emas yang banyak. Terdapat juga cerita yang mengatakan wujudnya lombong permata yang dimiliki oleh Raja Sulaiman yang tersembunyi di salah sebuah tempat di Afrika. Selain emas dan permata, Afrika juga menjadi tarikan kerana banyak sumber lain seperti gading gajah, rempah ratus, lada hitam, sutera dan sebagainya.
Melihat kepada kekayaan itu, bangsa Portugis begitu tertarik dan telah datang ke Afrika untuk mendapatkan kekayaan ekonomi itu. Pelayaran Bartholomew Diaz berjaya belayar sehingga menemui Tanjung Pengharapan pada tahun 1486. Dengan penemuan ini, Afrika secara terus-menerus telah dijelajah oleh orang-orang Portugis. Sehinggakan berjaya menguasai perdagangan rempah, sutera dan barang-barang mewah lain di Afrika. Bagi Portugis, keperluan terhadap emas dan permata ini adalah untuk perbendaharaan bagi membiayai ekspidisi ke kawasan-kawasan lain. Apabila menyedari bahawa amat penting untuk menguasai kawasan-kawasan yang menghasilkan sumber ekonomi ini maka Portugis mengambil langkah untuk menakluk kawasan tersebut. Dengan itu, setiap kapal yang digunakan oleh Portugis akan dilengkapi dengan kelengkapan perang apabila pergi di sesebuah kawasan. Portugis datang dengan alat persenjataan yang canggih iaitu dengan ingin menyerang sesebuah kawasan. Ini menyebabkan pemerintah pribumi Afrika terpaksa tunduk kepada kehebatan Portugis. Selepas itu, Portugis memaksa mereka membayar cukai yang tinggi. Contoh ini boleh dilihat ke atas Swahili yang terletak di pantai barat Afrika yang terpaksa tunduk kepada kuasa Portugis. Namun begitu, terdapat juga kawasan di Afrika yang ingkar dengan tektik Portugis ini. Contohnya, Mombasa dan Zanzibar yang telah diserang oleh Portugis pada tahun 1503. Selepas menguasai kawasan-kawasan tersebut, langkah seterusnya diambil dengan membina kota di kawasan tersebut dan dijadikan sebagai kawasan pelabuhan bagi tujuan perdagangan.
Pada abad ke-17 pula, kuasa Belanda telah muncul dan menyaingi kuasa Portugis di Afrika. Kedatangan Belanda juga dipengaruhi dengan tarikan ekonomi yang terdapat di Afrika. Kejayaan Belanda ini dapat dilihat apabila berjaya menguasai kawasan penting di Afrika iaitu Table Bay dan Cape Town pada 1652. Persaingan antara Portugis dan Belanda bukan berlaku di Afrika sahaja malah kedua-dua negara ini turut bersaing untuk menguasai Asia Tenggara.

Perdagangan Hamba
Afrika juga menjadi tumpuan kepada kuasa-kuasa barat kerana terdapat sumber hamba yang ramai. Hamba menjadi penting kerana keperluan tenaga buruh untuk memajukan ladang-ladang tebu di Dunia Baru. Hamba-hamba yang diperdagangkan ke Dunia Baru ini dikenail sebagai Perdagangan Hamba Trans-Atlantik. Import pribumi Afrika ini dimulakan oleh Portugis namun ianya semakin meningkat apabila kuasa Belanda semakin kuat di kawasan persisiran pantai Afrika. Menjelang abad ke-17 pula, kuasa England dan Perancis telah berjaya menempatkan diri di Afrika. Dengan pengaruh yang kuat kedua-dua kuasa ini, maka persaingan ke atas Afrika juga semakin sengit. Bagi British, hamba ini diperlukan untuk mengusahakan ladang mereka yang terletak di Caribbean. Perdagangan hamba ini terus meningkat apabila usaha-usaha daripada pedagang-pedagang hamba Perancis semakin ramai. Pada masa itu juga, kawasan Dunia Baru amat penting dalam perladangan tembakau iaitu di Virginia dan perdagangan beras di Maryland. Maka keperluan terhadap hamba terus meningkat. Pada abad ke-17 juga, Belanda, England, Perancis telah menubuhkan firma untuk mengangkut hamba dari Afrika ke Amerika. Keadaan ini menyebabkan berlakunya peningkatan yang amat ketara. Contohnya, di kawasan British yang terletak di Caribbean, import hamba meningkat dari jumlah 260,000 iaitu pada abad ke-16 kepada sejumlah 1.8 juta pada abad ke-18. Oleh yang demikian, melalui perdagangan hamba ini juga interaksi antara Eropah, Afrika dan Amerika begitu penting.
Walau bagaimanapun, apa yang cuba disampaikan disini adalah perdagangan hamba ini menjadi faktor penarik dan membawa kepada kedatangan kuasa Eropah ke Afrika.


Kesimpulan

Oleh itu, dapat disimpulkan disini bahawa faktor yang membawa kepada kedatangan kuasa barat ke Afrika ini disebabkan oleh faktor penolak dan faktor penarik iaitu seperti yang dibincangkan diatas. Kedatangan ke Afrika yang dipelopori oleh Portugis ini menyebabkan kuasa-kuasa Eropah yang lainnya mengikutinya. Malah, kedatangan secara berterusan ini mengakibatkan berlakunya persaingan dan pertelingkahan sesama mereka. Namun, setelah menganalisis kesemua faktor ini, faktor yang paling dominan yang menyebabkan bangsa Eropah pergi menjelajah ialah untuk melaksanakan hasrat God iaitu aspek keagamaan. Terdapat banyak sebab yang membuktikan motif ini. Perjanjian Tordesillas sudah cukup menjelaskannya yang mana semasa perjanjian ini dibuat ia turut dihadiri oleh Pope, raja-raja kristian dan sebagainya. Dengan pengelibatan pihak gereja dalam perjanjian ini, maka motif keagamaan itu semakin jelas. Selain itu, kita juga dapat melihat sebab seperti perasaan ingin membalas dendam yang ingin dilakukan oleh Portugal dan Sepanyol yang pernah ditakluk oleh kerajaan Islam. Motif untuk mencari kerajaan Kristian pimpinan Prester John pula meningkatkan semangat untuk menjelajah. Begitu juga dengan kesan-kesan Perang Salib yang telah membawa kepada penyatuan Eropah untuk menentang Islam. Penawanan Konstantiople iaitu kota agung bagi kerajaan Kristian sejak zaman Rome lagi oleh kerajaan Turki Uthmaniyah pada tahun 1453M menyemarakkan lagi usaha untuk menyekat pengaruh Islam ke seluruh dunia. Sebab itulah juga, Portugis berusaha mencari Asia Tenggara untuk menghapusakan monopoli Islam. Malah, setiap pelayaran yang bangsa Eropah lakukan turut diikuti oleh paderi-paderi dan membina gereja di setiap tempat yang mereka takluki. Apa yang jelas, untuk menyebarkan agama Kristisn, kuasa-kuasa Eropah mengunakan alasan yang kononnya ingin memonopoli perdagangan. Semua ini lebih kepada aspek keagamaan.
Manakala faktor-faktor lain hanyalah faktor kedua iaitu selepas misi keagamaan dilaksanakan.

Bibliografi


Collins, R. O., Europeans in Africa, New York: Alfred A. Knopf, 1970

Elizabeth Isichei, A History Of African Societies To 1870, New York: Cambridge
University Press., 1997

Ogot, B. A., (Eds.), General History of Africa, Vol. V: Africa From The Sixteenth To
Eighteen Century, London: James Curry, 1997

Maruwiah Ahmat, Penjajahan Portugis Dan Sepanyol Ke Atas Asia Tenggara, Shah
Alam: Karisma Publications, 2006

Sivachandralingan Sundra Raja, Sejarah Eropah, Terbitan Utusan Publication &
Distributor sdn bhd, 2002

3 Comments:

  1. My-RiE said...
    ada kesalahan ejaan..cek semula..
    Anonymous said...
    salam, terima kasih kerana menggunakan buku saya, maruwiah
    zrull said...
    salam untuk Maruwiah. buku anda sangat banyak membantu dalam assigment saya ini. terima kasih banyak2.

Post a Comment



Blog ini tidak mengkhusus dalam bidang tertentu. Penulis bebas menulis apa sahaja dalam blog ini (Blog Rojak). Terima Kasih kerana sudi meluangkan masa.

 

Blogger Template | Created by Adam Every