Oleh Diyanah Anuar

PERDEBATAN mengenai siapa lebih hebat, lelaki atau wanita sering menimbulkan `pertelingkahan’ antara kedua-dua jantina. Masing-masing pasti mengatakan mereka lebih bagus daripada jantina lawan.

Topik seperti ini membuatkan sesetengah wanita menjadi lebih feminis, memperjuangkan kesaksamaan jantina manakala lelaki pula lebih chauvinis; tetap merasakan mereka yang paling hebat.

Walau bagaimana ia diperdebatkan sekalipun, jawapan mahupun penyelesaian tidak pernah diperoleh.

Ketidaksefahaman sering berlaku kerana pada dasarnya, lelaki dan wanita mempunyai cara penilaian, keutamaan, peraturan dan tabiat yang berbeza.

Kajian ramai saintis menunjukkan perbezaan antara lelaki dan wanita bukan setakat biologikal. Otak lelaki dan wanita misalnya, bukan saja berlainan tetapi cara penggunaannya juga berbeza.

Wanita lebih kerap menggunakan interaksi antara hemisfera kiri dan kanan otak mereka. Sebab itulah mereka lebih mahir dalam perkara yang membabitkan kemahiran lisan dan gerak hati.

Otak lelaki pula, mempunyai pengasingan yang jelas dalam penggunaannya. Ia bermaksud, kemahiran mereka lebih kepada taakulan (daya berfikir dan membuat rumusan) abstrak dan ruang visual.

Peranan yang berlainan dalam proses evolusi kehidupan lelaki dan wanita turut membentuk tabiat yang berbeza antara lelaki dan wanita. Walaupun keadaan kehidupan sering berubah, lelaki dan wanita cenderung mengikuti `program’ biologikal masing-masing.

Dalam sesuatu hal, lelaki biasanya mempunyai arah tuju yang kukuh. Bila berdepan dengan sesuatu perkara, mereka akan mengenalpasti, mengendali dan menyelesaikan. Wanita sering melihat apa yang berlaku di sekeliling, mengesan masalah serta perubahan terutama yang membabitkan kelakuan dan penampilan.

Otak lelaki diaturkan untuk memburu, oleh itu, mereka mempunyai jarak penglihatan yang agak sempit dibanding dengan otak wanita yang berkebolehan membaca maklumat lebih banyak.

Lelaki berupaya memilih maklumat dan menyimpannya di dalam memori tapi wanita selalunya akan mengimbas maklumat berkenaan tanpa henti. Cara untuk wanita berhenti memikirkan masalah mereka adalah dengan meluahkannya dan bila wanita berkongsi masalahnya dengan lelaki, mereka bukanlah ingin mencari penyelesaian tapi hanya inginkan seseorang mendengar luahan masalah itu.

Kelebihan lelaki, mereka handal menyelesaikan masalah teknikal berbanding wanita.

Wanita mendengar dengan lebih baik, menggunakan lebih banyak perkataan ketika bercakap dan lebih berdikari dalam menyiapkan tugasan.

Selain itu, wanita juga lebih teliti dalam setiap perkara yang mereka lakukan walaupun ada di antaranya dianggap remeh segelintir orang.

Pun begitu, dalam sesetengah perkara, wanita `kalah’ kepada lelaki kerana sifat mereka yang cenderung menggunakan hati dan emosi dalam mengendalikan sesuatu perkara berbanding lelaki yang lebih mudah memberi fokus dalam sesuatu pekerjaan tanpa membabitkan soal perasaan. Ini memberi kelebihan kepada lelaki untuk menjadi pemimpin dalam sesebuah organisasi.

Namun, kekayaan emosi wanita jugalah yang membuatkan wanita lebih tabah dan tekun dalam melaksanakan tanggungjawab seperti mengandung, melahir dan menjaga anak-anak dan suami serta menguruskan rumah tangga.

Tidak hairanlah kebanyakan wanita lebih cekap menjalankan tanggungjawab sebagai ibu tunggal berbanding lelaki bapa tunggal yang selalunya `terpaksa’ mencari pengganti yang dapat membantu mereka menguruskan keluarga.

Dalam industri pengiklanan penerbitan majalah pula, kuasa dilihat masih berada di tangan wanita kerana kebanyakan iklan dan kulit majalah masih menampilkan wanita sebagai tarikannya dan `formula’ ini sememangnya menjadi.

Mungkin ada antara golongan lelaki ataupun wanita yang kurang bersetuju dengan kelebihan dan kelemahan yang diutarakan. Ada yang merasakan diri mereka berfikiran atau berkebolehan melakukan apa yang jantina lawan mereka boleh lakukan.

Hal ini mungkin ada kena-mengena dengan teori Profesor Pembangunan Psikopatologi di Jabatan Psikiatri dan Psikologi Eksperimental, Trinity College, Cambridge, United Kingdom (UK), Simon Baron-Cohen, yang menunjukkan sebilangan individu berkelakuan dan berfikir seperti jantina berlawanan.

Kajiannya mendapati 20 peratus daripada responden lelaki dan wanita mempunyai otak jantina berbeza - lelaki memiliki otak wanita dan sebaliknya; 20 peratus lagi mempunyai otak yang seimbang manakala 60 peratus mempunyai otak yang khusus mengikut jantina masing-masing.

Mungkinkah kerana ini, ada lelaki yang menonjolkan sifat dan keinginan seperti perempuan dan perempuan berkelakuan seperti lelaki?

Hakikatnya, setiap orang tidak kira lelaki atau wanita harus mengakui, terdapat wanita yang lebih bagus daripada lelaki dan begitu juga sebaliknya. Kedua-duanya mempunyai kebolehan yang serupa dalam banyak perkara.

Masa kini, pelbagai bidang kerjaya yang dulunya didominasi atau stereotaip kepada satu jantina saja, kini sudah terbuka kepada kedua-duanya.

Banyak bidang yang tidak lagi hanya dikuasai wanita tetapi turut diceburi lelaki dan ramai yang lebih berjaya daripada wanita.

Begitu juga halnya bila wanita menceburi bidang yang sebelum ini dikuasai lelaki. Ramai wanita mengatasi kebolehan dan memberikan saingan hebat kepada lelaki dalam bidang pekerjaan yang sukar dan sering dianggap hanya mampu dilakukan lelaki.

Perhatikan juga, berapa ramai lelaki yang berjaya dalam bidang masakan, fesyen, dandanan dan kecantikan dan berapa ramai wanita yang mencipta nama dalam bidang profesional serta pentadbiran negara?


Tujuh perbezaan psikologi lelaki dan wanita

  • Lelaki memahami suatu situasi secara keseluruhan dan berfikir secara global sedangkan wanita `memusatkan’ pemikiran mereka serta bergantung kepada perincian dan nuansa.

  • Lelaki adalah pembina dan pencipta. Mereka mengambil risiko dan melakukan eksperimen. Wanita pula memilih pengetahuan paling bernilai dan menurunkannya kepada generasi seterusnya.

  • Lelaki lebih berdikari dalam pemikiran tindakan manakala wanita lebih mengikut idea yang disyorkan orang lain.

  • Wanita kurang menghargai atau memuji diri mereka berbanding lelaki. Wanita sering mengkritik diri mereka dan lelaki pula sering berpuas hati dengan pencapaian diri.

  • Perkara yang memberikan kepuasan juga berbeza. Bagi lelaki, ia adalah karier dan kejayaan sedangkan wanita lebih menitikberatkan keluarga dan anak-anak.

  • Lelaki lebih memikirkan mengenai keperluan mencapai impian mereka. Wanita pula lebih menitikberatkan perhubungan berbanding perkara ini.

  • Lelaki jatuh sakit pada kekerapan yang sama seperti wanita walaupun wanita lebih prihatin terhadap kesihatan diri. Wanita menghadapi kesakitan atau kerja yang membosankan lebih baik daripada lelaki.


    Harus terima kelebihan, kekurangan diri

    PERANAN sebagai pemimpin yang sering diamanahkan kepada lelaki membuatkan penyampai radio dan pelakon, Mohd Khairul Ikhwan Rosli, 24 berbangga menjadi seorang lelaki.

    “Golongan lelaki sejak dulu lagi sering menjadi pemimpin, contohnya ketua dalam keluarga. Itu antara kelebihan bergelar lelaki.

    “Lelaki juga boleh menjaga diri sendiri dan tidak perlu terlalu bimbang mengenai keselamatan diri bila berada di luar kerana mereka menghadapi risiko ancaman yang kurang jika dibandingkan dengan wanita.

    “Kemudian, lelaki tidak perlu risau mengenai segala masalah berkaitan dengan `datang bulan’. Bila bersukan atau bersantai di pantai, lelaki bebas membuka baju mereka di depan orang ramai. Wanita tentu tak bolehkan?,” katanya.

    Dari segi penampilan, kata Ikhwan, tidak rumit bagi lelaki.

    “Bila hendak bersiap untuk ke mana-mana, lelaki tidak mengambil masa yang lama untuk bersiap. Penampilan ringkas saja pun tidak ada orang yang kisah. Kalau perempuan, dari hujung rambut sampai hujung kaki perlu dibelek.

    “Begitu juga bila mahu membeli pakaian. Tidak perlu susah-susah berfikir apa yang mahu dibeli kerana pakaian untuk lelaki ringkas saja, baju, kemeja dan seluar,” tambah beliau.

    Walaupun berbangga menjadi lelaki, Ikhwan tetap berasa kagum malah ‘cemburu’ dengan sifat yang dimiliki kaum hawa.

    “Jelas, wanita juga mempunyai kelebihan tersendiri yang tidak mampu ditandingi lelaki. Pertama sekali, pastilah keistimewaan mereka untuk mengandung dan melahirkan zuriat.

    “Selain itu, setiap wanita juga memiliki kecantikan tersendiri. Mereka juga selalunya lebih menitikberatkan kebersihan lebih daripada lelaki.

    “Dalam menguruskan rumah, mengemas dan memasak, sememangnya wanita lebih cekap daripada lelaki. Mereka juga lebih mesra dan disayangi. Dalam keluarga, anak-anak biasanya lebih rapat dengan ibu mereka berbanding bapa. Kalau menangis pun, selalunya mereka akan memanggil emak,” katanya.

    Mengenai penampilan sekali lagi, Ikhwan berkata, banyak pilihan pakaian serta aksesori untuk wanita di pasaran dan kebanyakannya boleh diperoleh dengan harga yang murah, lebih-lebih lagi kasut.

    “Memakai pakaian berimej lelaki juga tidak menjadi masalah bagi wanita tapi lain pula halnya dengan lelaki. Wanita saja yang boleh memakai kasut tumit tinggi!.

    “Wanita juga senang mendapat perhatian, apatah lagi jika mereka mempunyai paras rupa yang jelita. Dalam industri hiburan sendiri kita dapat lihat, peluang dan rezeki untuk artis wanita lebih luas berbanding artis lelaki,” katanya.

    Ikhwan turut mendedahkan satu kuasa wanita yang dapat ‘mengalahkan’ ramai lelaki.

    “Ada satu kuasa wanita yang sememangnya tidak dapat disaingi lelaki iaitu kuasa memujuk. Wanita ini memang handal memujuk.

    “Tapi, apapun kelebihan atau kelemahan yang dimiliki golongan lelaki atau perempuan, semuanya sudah dikurniakan Tuhan. Kelebihan dan kelemahan yang ada pada diri membuatkan kedua-duanya saling memerlukan serta melengkapi antara satu sama lain.”

    Perunding Perjawatan, Sazreena Wati Zainuddin, 28, pula menyatakan bertuahnya dilahirkan sebagai seorang wanita.

    Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menjadi lelaki walaupun ketika bersekolah dulu, beliau gemar berpakaian dan berlagak seperti lelaki.

    “Tidak ada keburukan atau kelemahan jika dilahirkan sebagai lelaki tetapi sebagai seorang manusia yang dilahirkan sebagai wanita, saya berpuas hati dengan kehidupan sebagai seorang wanita. Saya cuma mahu kehidupan normal, tiada yang luar biasa,” ujarnya.

    Kata Sazreena, banyak keuntungannya menjadi wanita. Paling menguntungkan adalah layanan istimewa yang sering diberikan kepada wanita.

    “Dalam dunia pekerjaan misalnya, wanita lebih mudah mendapat layanan istimewa jika dibandingkan dengan lelaki. Jika terbabit dalam bidang pemasaran pula, dapat dilihat, wanita biasanya lebih senang mendapatkan kontrak berbanding rakan sekerja lelaki.

    “Dari segi fizikal juga, sememangnya wanita ada kelebihannya. Maksud saya, aset yang tidak akan dimiliki lelaki. Bukan menyalahgunakan aset ini tetapi sedikit-sebanyak ia ada fungsinya tersendiri. Tetapi, kadang-kadang ada juga tidak baiknya. Saya sendiri sentiasa menjadi mangsa usikan dan ejekan sama ada daripada rakan mahupun orang yang tidak dikenali. Dipendekkan cerita, gangguan seksual. Tetapi, saya tidak kisah, mungkin kerana sudah biasa," katanya.

  • sumber: Berita Harian

    0 Comments:

    Post a Comment



    Blog ini tidak mengkhusus dalam bidang tertentu. Penulis bebas menulis apa sahaja dalam blog ini (Blog Rojak). Terima Kasih kerana sudi meluangkan masa.

     

    Blogger Template | Created by Adam Every