PENGARAH Pelancongan Negeri Melaka, Abdul Kadir Mohd. Idris (dua dari kanan) menyampaikan buku pelancongan Melaka kepada Amy Search sambil diperhatikan oleh penganjur konsert Abalimalimo, Alim Alimon (tengah) pada sidang akhbar konsert Legenda Double Trouble, baru-baru ini.


TAHUN lalu, konsert Double Trouble yang menggabungkan dua buah band rock legenda tempatan, Search dan Wings telah berjaya mengadakan konsert di lima buah lokasi. Kehadiran hampir 20,000 pengunjung di setiap konsert membuktikan tarikan Search dan Wings masih kuat.

Terbaru, mereka akan bergabung pentas sekali lagi dalam konsert yang diberi nama Lagenda Double Trouble pada 27 Mei depan di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Menurut vokalis band Search, Amy, yang ditemui pada sesi sidang media yang diadakan baru-baru ini, Konsert Lagenda Double Trouble yang dianjurkan AB Alim Alimon (M) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka itu merupakan konsert terakhir yang menggabungkan Search dan Wings.

“Kalau ikutkan lima buah konsert tahun lalu sudah cukup, tetapi kali ini apabila konsert ini mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri Melaka rasa sayang pula jika tidak buat.

“Apa yang boleh saya katakan, Konsert Lagenda Double Trouble ini merupakan konsert terakhir dalam siri jenama Double Trouble. Jadi, buat peminat kalau ingin saksikan gabungan Search dan Wings buat kali terakhir jangan lepaskan peluang untuk ke Melaka,” katanya.

Tambahnya, Search dan Wings bersetuju untuk melakukan Konsert Lagenda Double Trouble kerana mereka diberi kebebasan untuk memberi yang terbaik buat peminat yang akan menghadiri konsert itu.

“Bajetnya agak besar, jadi kami boleh minta semua yang terbaik bukan sahaja daripada segi sistem bunyi tetapi segalanya. Apa yang boleh saya janjikan jika dulu ada peminat yang kecewa dengan masalah sistem bunyi di Sunway Lagoon, masalah itu tidak akan berulang di Melaka,” ujarnya.

Bagi memastikan semua perkara berjalan dengan lancar, kata Amy, dia bersama anggota Search yang lain akan terlibat 100 peratus dari awal perancangan konsert sehinggalah ke peringkat akhir.

“Kami sendiri yang pilih sistem bunyi dan peralatan. Kami pastikan apa yang kami pilih itu sama dengan apa yang akan digunakan pada hari konsert. Saya tidak mahu masalah yang sama berulang, kalau boleh saya mahu konsert terakhir Double Trouble akan meninggalkan kenangan yang terbaik buat peminat Search dan Wings,” tuturnya lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Abalimalimon Event Unit, Abdul Alim Alimon selaku penganjur konsert menjelaskan, keunikan konsert itu adalah pada pengisiannya di mana kebanyakan lagu yang bakal dipersembahkan dipilih oleh barisan Exco kerajaan negeri Melaka sendiri.

“Selain itu, kami juga bekerjasama dengan Konsortium Transnasional Berhad yang bertindak sebagai ejen jualan tiket menerusi 80 kaunter tiket bas mereka di seluruh semenanjung,” katanya.

Menurut Abdul Halim, Konsert Lagenda Double Trouble di Melaka itu diadakan bersempena Karnival Jom Gempau yang berlangsung pada 25 hingga 29 Mei depan.

“Menariknya, konsert di Melaka ini mampu memuatkan lebih 30,000 penonton. Selain menonton konsert, peminat yang hadir juga berpeluang untuk meninjau karnival yang diadakan dari 25 hingga 29 Mei di pekarangan stadium. Pelbagai aktiviti dan acara yang dianjurkan termasuk sukan rakyat, karaoke, konvoi motosikal Road To Dt Melaka 2011, makan amal anak yatim bersama menteri dan gerai-gerai jualan,” katanya.

Selain berhibur, setiap pembelian tiket turut berpeluang untuk memenangi cabutan bertuah iaitu sebuah kereta Perodua Viva, dua motosikal Modenas Kriss dan lima buah Apple iPad. Harga tiket yang masih belum diumumkan dijangka akan mula dijual pada 25 April depan. Untuk maklumat lanjut, sila layari dtmelaka.blogspot.com.

Sumber: Kosmo Online

0 Comments:

Post a Comment



Blog ini tidak mengkhusus dalam bidang tertentu. Penulis bebas menulis apa sahaja dalam blog ini (Blog Rojak). Terima Kasih kerana sudi meluangkan masa.

 

Blogger Template | Created by Adam Every