PERKARA pelik yang berlaku sepanjang kehidupan Michael Jackson berterusan selepas kematiannya dengan pelbagai dakwaan tidak berasas, seolah-olah ia datang daripada penulis fiksyen.

Ia termasuk petisyen untuk menganugerahkannya hadiah Nobel Keamanan, mendakwa menjadi ibu bapa kandung anak Michael, saman daripada wanita yang mendakwa menjadi isterinya yang sah dan kepercayaan bahawa Raja Pop itu kini hidup di planet lain.

Michael, 50, mati di Los Angeles pada 25 Jun lalu, akibat sakit jantung. Anaknya, Prince Michael, 12, Paris, 11 dan Prince Michael II atau Blanket yang berusia tujuh tahun, serta-merta menjadi pewaris empayar muzik penyanyi itu.

Penjaga mereka yang sah ialah Katherine Jackson, ibu Michael.

Menurut satu kes yang difailkan di Los Angeles baru-baru ini, seorang wanita, Claire Elisabeth Fields Cruise, mengaku ibu kandung kanak-kanak berkenaan.

Dokumen yang difailkan oleh Claire dan disiarkan pada laman web TMZ.com juga mendakwa Prince Michael I diperoleh menerusi sperma seorang lelaki yang menetap di Perancis sementara bapa Paris adalah kekasih tidak rasminya.

Claire memberitahu seorang hakim, dia melahirkan kanak-kanak itu tanpa menghamilkan mereka.

“Ada teknologi untuk berbuat demikian. Ia dengan memindahkan kanak-kanak itu daripada kandungan dan memasukkannya ke dalam tubuh ibu tumpang yang melahirkan mereka,” katanya kepada wartawan selepas memfailkan kes berkenaan.

Claire juga mendakwa Jackson ‘sedar’ bahawa dia adalah bapa sebenar Connor Cruise, kanak-kanak kulit hitam yang dijadikan anak angkat oleh pelakon, Tom Cruise ketika dia masih menjadi suami Nicole Kidman pada 1995.

Sehari sebelum Claire memfailkan kesnya, bekas pelakon kanak-kanak Britain, Mark Lester berkata, dia mungkin bapa sebenar Paris Jackson.

“Saya memberikan Michael sperma saya supaya dia boleh mendapat anak. Dan saya percaya Paris adalah anak saya,” kata Lester yang memegang watak Oliver Twist dalam filem muzikal, ‘Oliver,’ kepada akhbar tabloid Britain, News of the World.

Jurucakap keluarga Jackson mengaku Lester, 51, adalah rakan karib Michael dan bapa pembaptisan tiga anaknya tetapi menolak dakwaan Lester bahawa dia bapa Paris.

Dua anak pertama Michael, Prince Michael dan Paris dilahirkan selepas dia berkahwin dengan Debbie Rowe, pembantu dermatologinya, antara 1996 hingga 1999.

Debbie menandatangani perjanjian menyerahkan hak penjagaan kanak-kanak itu kepada Michael, yang kemudian memperoleh anak ketiga melalui ibu tumpang.

Majikan Debbie, Arnold Klein turut mencetuskan tanda tanya apabila membuat kenyataan mencurigakan kepada ABC News awal bulan lalu dengan berkata: “Setahu saya, saya bukan bapa tiga kanak-kanak itu. ”

Debbie dan Michael mungkin sudah lama bercerai tetapi muncul pula Nona Paris Lola Ankhesenamun Jackson yang mendakwa menjadi isteri sah penyanyi itu.

Dia memfailkan kes di mahkamah Los Angeles lima hari selepas kematian Michael dengan berkata: “Semua harta suami saya, termasuk wang dan aset mesti dipindahkan kepada saya serta-merta.”

Walaupun tidak ada bukti mengaitkan wanita itu dengan Michael, namun Nona juga mendakwa anak penyanyi itu anaknya dan dia tidak membenarkan mereka tinggal bersama ibu Michael, Katherine.

Dalam kes lain, seorang wanita bernama Billie Jean Jackson — sama seperti lagu popular Michael, Billie Jean - muncul di mahkamah dengan mendakwa dia mempunyai hubungan dengan anak bungsu penyanyi itu, Blanket.

Jean meminta hakim mengupah pakar tulisan tangan untuk memastikan sama ada surat wasiat yang ditulis Michael itu tulen atau palsu.

Sementara itu, beberapa majalah mendakwa rapper, Omer Bhatti, 25, adalah anak Michael hasil hubungannya dengan seorang peminat warga Norway.

Bhatti menetap di ladang Neverland selama lapan tahun dan berada bersama keluarga Michael di majlis penghormatan terakhir penyanyi itu.

Rakan keluarga Jackson berkata, Bhatti hanya anak didik Michael dan pemuda itu sendiri menafikan ada hubungan darah dengan penyanyi berkenaan.

Ia bagaimanapun tidak menghalang bapa penyanyi itu, Joe Jackson daripada mendakwa Bhatti anak Michael.

“Ya, saya tahu dia ada seorang lagi anak. Saya tahu. Bhatti ada mirip Michael. Dia boleh menari seperti Michael,” katanya ketika ditemuramah ABC News pada 31 Julai lalu tanpa menawarkan sebarang bukti.

Tidak lama selepas kematian Michael, satu laman web dilancarkan, mencalonkan penyanyi itu untuk Anugerah Nobel Keamanan 2010 kerana ‘mengabdikan dirinya untuk membantu kanak-kanak dan kemanusiaan keseluruhannya.’

Sehingga Sabtu lalu, lebih 31,000 orang menandatangani petisyen berkenaan, walaupun hadiah Nobel tidak diberikan kepada mereka yang sudah mati.

Dalam pada itu, ada pula orang yang berkata mereka melihat hantu Michael dalam dokumentari CNN yang dirakam di Neverland tidak lama selepas kematiannya.

Sebahagian peminatnya mungkin lega dengan dakwaan Pergerakan Raelian, kumpulan yang menganugerahkan Michael gelaran Raelian Honorary Guide pada 1992, mungkin masih hidup.

“Berdasarkan bakti yang dicurahkan oleh Michael di muka bumi ini, untuk keamanan dan cinta, saya pasti dia masih hidup di planet Elohim,” kata ketua kumpulan itu 7 Julai lalu.

Pengikut kumpulan berkenaan percaya semua kehidupan di dunia ini dicipta oleh saintis daripada planet yang dikenali sebagai Elohim, yang dianggap oleh manusia zaman dulu sebagai Tuhan.

“Jackson adalah antara segelintir manusia dari bumi untuk diklon dan akan kembali ke bumi bersama Elohim. Manusia akan mengalu-alukan kedatangan mereka semula,” menurut kenyataan itu. - Agensi

0 Comments:

Post a Comment



Blog ini tidak mengkhusus dalam bidang tertentu. Penulis bebas menulis apa sahaja dalam blog ini (Blog Rojak). Terima Kasih kerana sudi meluangkan masa.

 

Blogger Template | Created by Adam Every